Aaron Aziz bengang anak difitnah


AARON bersama anak-anak dan isteri ketika bercuti di London, England baru-baru ini.

MINGGU ini, industri hiburan tanah air dikejutkan dengan berita keadaan kesihatan pelakon Aaron Aziz yang tidak begitu mengizinkan apabila terpaksa ditahan dalam wad di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur pada Selasa lalu selepas disahkan menghidap pneumonia.

Malangnya, sewaktu berita dia sedang menerima rawatan di hospital, pelakon berusia 40 tahun itu melahirkan rasa kecewa apabila tersebarnya berita palsu mengenai keadaan anak bongsunya, Dahlia Arissa, 5, yang dikatakan sedang bertarung nyawa.

Sebagai seorang bapa, sudah pasti ia merupakan satu perkara yang menyedihkan apabila permata hatinya itu dikaitkan dengan cerita yang bukan-bukan. Apatah lagi ia melibatkan perihal hidup dan mati.

“Inilah yang akan berlaku apabila orang yang tak lulus zaman persekolahan dan nak cari publisiti murahan dengan membuat fitnah, salah anggapan atau apa sahaja kebodohan sampai berita begini boleh keluar.

“Tak kelakar. Tak gelak. Tak ada apa-apa yang baguslah dengan membuat-buat cerita palsu begini,” luahnya menerusi perkongsian sekeping foto yang dimuat naik menerusi akaun Instagram sewaktu masih lagi menerima rawatan di hospital baru-baru ini.

Memandangkan aktor KL Gangster itu masih lagi menerima rawatan di hospital, Sensasi Bintang cuba mendapatkan isterinya, Diyana Halik, 35, untuk bertanyakan perihal sebenar Aaron bertindak sedemikian.




“Berita yang tersebar itu merupakan gambar Dahlia sewaktu ingin menjalani pembedahan. Perkara itu sudah lama berlaku iaitu pada tahun lalu. Sayangnya, mereka guna gambar itu, cakap takziah apa lah.

“Walhal Dahlia sudah keluar sihat. Orang fitnah anak dia, itu yang dia rasa bengang. Padahal sekarang ini dia yang dimasukkan ke hospital,” kongsi Diyana yang juga merangkap pengurus kepada pelakon drama Tuan Anas Mikael itu.

Menurut Diyana, suaminya itu memang seorang yang cukup prihatin dengan anak-anaknya.

Bahkan, katanya, Aaron lebih rela difitnah, tetapi bukan mengaitkan hal anak-anaknya.

“Aaron kalau orang fitnah dia tak mengapa, dia boleh terima lagi, tapi bukan sehingga membabitkan anak-anak. Bapa mana yang tidak melenting jika ada orang buat fitnah pasal anak sendiri,” kongsinya ketika dihubungi baru-baru ini.

Berkongsi mengenai hal kesihatan Aaron, menurut Diyana keadaan suaminya bertambah baik selepas diberikan antibiotik.

“Doktor masukkan antibiotik menerusi drip di tangannya. Bagaimanapun, pada asalnya, keadaan urat tangannya agak bengkak kerana saya difahamkan antibiotik itu agak kuat, tapi alhamdulillah keadaan dia semakin baik,” katanya.

Jelas Diyana, suaminya itu sebenarnya sedang menjalani penggambaran drama Tentang Hati 2.

“Jadi sekarang, penggambaran untuk babaknya mungkin terpaksa ditangguhkan sementara waktu. Mungkin pihak produksi teruskan babak yang tidak melibatkan dirinya terlebih dulu.

“Sepatutnya jangka habis pada pertengahan bulan ini, bagaimanapun, mungkin terpaksa dianjakkan lagi tempoh masa penggambaran,” ujarnya yang memberitahu suaminya terpaksa dikejarkan ke hospital selepas suhu badannya naik sehingga 39.4 darjah Celsius.

Previous Post Next Post