Adi Putra tidak minat mengarah


FIGURA ini tidak perlu diperkenalkan lagi, sebut sahaja namanya pasti ramai yang membayangkan lakonan pelakon berusia 35 tahun ini menerusi filem terkenal tempatan seperti Aku Terima Nikahnya, KL Gangster 2, dan Anak Halal.

Di sebalik kejayaannya sebagai pelakon filem mahu pun drama, empunya nama Adi Putra ini bersyukur kerana terus diterima dalam industri seni tempatan.

“Saya sentiasa mengingati diri, peningkatan usia menjadi tanda atau pengukur kepada perkembangan kerjaya sebagai seorang pelakon.

“Kerana itu, dalam usia sekarang, saya berterima kasih kerana masih diberi kepercayaan oleh pengarah dan penerbit yang mahukan saya bekerja dengan mereka," katanya.

Melihat kepada perkembangan profesion Adi Putra, wajar dikatakan dia antara anak seni yang mempunyai standard atau kelas tersendiri.

“Usaha gigih saya untuk mencipta nama dan meletakkan diri saya di tahap ini amat sukar.

“Apa yang dilalui selama ini memberikan saya banyak pengalaman berharga untuk meraih tempat yang saya miliki,” katanya yang pernah popular menerusi drama bersiri Teduhan Kasih.

Berbeza dengan rakan seperjuangannya, jika ada di antara mereka yang kini sudah duduk di bangku pengarah, sebaliknya bagi Adi Putra yang masih selesa bergelar pelakon sehingga kini.

“Selain daripada kekangan masa, sebenarnya saya sendiri tidak mempunyai minat dalam bidang pengarahan.

“Saya tahu di mana kepakaran saya, jika saya menjadi pengarah, ia ibarat saya sengaja melanggar tembok.

“Bagi saya, tidak penting melakukan semuanya jika ia tidak berkualiti dan hanya membuang masa, lebih elok saya hanya bergelar pelakon dan membantu rakan lain yang bergelar pengarah dengan bekerja bersama mereka,” katanya.

Namun, tidak mustahil bagi Adi Putra jika dia melangkah ke bidang penerbitan suatu hari nanti.

“Siapa tahu saya mungkin bergelar penerbit nanti, lagi pun penerbit tidak mencabar seperti menjadi pengarah,” katanya.

Seiring peningkatan usianya, Adi Putra memberitahu, dia tidak bimbang jika suatu hari nanti dia sudah tidak diperlukan dalam industri ini lagi.

“Saya tidak risau tentang semua itu, kalau orang tak pandang kita kerana usia, tidak mengapa.

“Lagi pun saya sudah melalui zaman kegemilangan, jadi mungkin sekarang rezeki orang lain pula

“Apa yang penting, untuk bertahan dalam industri kita perlu tahu apa yang harus dilakukan dan sedar apa yang perlu dilaksanakan,” katanya.


Tak pilih heroin

Sedang popular menerusi drama bersiri Cinta Si Wedding Planner, akui Adi Putra, dia sebenarnya agak terkejut apabila digandingkan dengan pelakon baharu, Mira Filzah menerusi drama bersiri itu.

“Terus terang saya katakan, saya tidak kisah digandingkan dengan orang baharu atau lama apabila diberikan sebarang kerja.

“Bagi saya, mereka ini juga sama seperti saya suatu ketika dahulu yang sentiasa meraih peluang untuk berlakon dengan senior.

“Jika tiada ruang sebegitu, mereka tidak akan merasa pengalaman baharu dan lakonan mereka juga sukar digilap,” katanya.

Berkongsi pengalaman bekerja bersama Mira Filzah, ujar Adi Putra, gandingannya itu seorang yang rajin belajar.

“Ia terbukti dalam drama itu sendiri apabila dia mampu menguasai wataknya dengan baik.

“Sementelah sebagai karakter utama, dia yang perlu mengawal cerita itu, bukannya saya.

“Jadi saya cuba membantunya sebaik mungkin dengan masuk dalam dunianya untuk membuatkan dia selesa berlakon bersama saya,” katanya.

Dalam pada itu, Duta Drama Festival Kuala Lumpur 2016 (DFKL 2016) ini berkata, dia merasakan pelantikannya sebagai duta DFKL 2016 sebagai satu penghargaan.

“Seperti saya katakan, saya tidak sangka mereka melantik saya menjadi duta DFKL 2016 kerana masih banyak muka baharu di luar sana.

“Apa pun, saya sangat berterima kasih dan cuba membantu apa yang mampu menerusi program-program bersama DFKL 2016 khususnya berkaitan bidang lakonan.

Urus agensi pelancongan

Selain sibuk dengan lakonan, Adi Putra juga turut memberikan fokus kepada agensi pelancongan yang diuruskannya.

Pada masa sama, dia masih menerima tawaran lakonan jika jadual kerja dan perniagaan yang diuruskan tidak bertentangan.

Meskipun sibuk dengan urusan kerja, Adi Putra tetap mengutamakan keluarga dalam apa juga yang dilakukan.

Terbaru, dia bakal muncul menerusi drama untuk Ramadan di TV3 dan Cinta Si Wedding Planner episod raya.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »