Alyah hilang beg tangan, rumah dipecah masuk


PENYANYI popular, Alyah kehilangan beg tangan mengandungi beberapa barangan termasuk dokumen peribadi, dua telefon bimbit serta kunci kereta selepas rumah ibunya di Jalan Taat, Kampung Melayu, Gelang Patah, di sini, dipecah masuk, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Superintendan Noor Hashim Mohamad yang mengesahkan kejadian terbabit berkata penyanyi berkenaan membuat laporan mengenai kejadian itu pada 10.30 pagi semalam, di Balai Polis Gelang Patah.


"Berdasarkan laporan, ketika kejadian, rumah (ibu) mangsa sedang dalam pembinaan, ubah suai sekali gus memudahkan penjenayah memasukinya tanpa disedari. Beg mangsa diletakkan di atas meja dan dipercayai telah diambil penjenayah," katanya yang dihubungi hari ini.

Noor Hashim berkata pihaknya akan melakukan siasatan terhadap kes itu mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

Sementara itu, Alyah atau nama sebenarnya Datin Noor Hasliah Abu Hasan, 35, turut memuat naik catatan berkaitan kejadian terbabit menerusi laman instagramnya, alyah81, malam tadi.

Menurut catatan itu, kejadian tersebut berlaku ketika anggota keluarga mereka sedang tidur dan kehilangan beg berkenaan disedarinya pada waktu subuh, pagi semalam.

Previous Post Next Post