Bil Telefon Cecah RM15,000 Wan Raja Dakwa Diperdaya Syarikat Telco Celcom


Wan Raja dan isteri Yaya Maembong bercuti di London dan Paris pada November tahun lalu.

Pelakon Wan Raja terkejut apabila menerima bil telefon bimbitnya bernilai RM15,000 daripada sebuah syarikat telikomunikasi kerana menggunakan perkhidmatan itu ketika bercuti di Londan dan Paris, baru-baru ini.

Wan Raja, 39, turut berasa teraniaya apabila jumlah caj yang dikenakan tidak seperti pakej ditawarkan syarikat telekomuniksi (telco) Celcom itu ketika berada di luar negara selama 10 hari iaitu pada November tahun lalu.

"Saya sangat terkejut apabila pihak telco Celcom hubungi saya memberitahu bil telefon tertunggak berjumlah RM15,000 kerana menggunakan perkhidmatan mereka ketika berada di luar negara.

"Saya rasa tertipu kerana pihak telco berkenaan pada awalnya menghantar tawaran data plan hanya RM38 sehari dan saya menggunakan selama empat hari sahaja, namun tidak sangka harga sebanyak itu," ujarnya kepada mStar Online, di sini, Khamis.



Wan Raja turut meluahkan rasa terkejut di laman sosial Instagramnya baru-baru ini.

Wan Raja berkata, dia sudah bertemu dengan bahagian perkhidmatan pelanggan syarikat telekomunikasi tersebut bagi meminta penjelasan dan diskaun, namun gagal.

Sebaliknya, pihak telco berkenaan mendakwa bahawa ia berpunca daripada kesilapan memilih perkhidmatan telekomunikasi di negara yang dilawati itu.

"Saya sudah berjumpa dengan pihak telco untuk meminta maklumat terperinci apa yang mereka caj, mereka pula tetap bertegas meminta saya bayar jumlah tersebut.

"Katanya, jumlah RM15,000 tersebut sudah dipotong diskaun daripada jumlah sebenar sebanyak RM92,000.

"Ini tidak masuk akal kerana saya hanya guna data plan untuk memuat naik gambar di Instagram dan aplikasi waze sahaja sepanjang empat hari tersebut. Dan jika jumlah kredit saya sudah melebihi had, mereka wajar menyekat akaun saya daripada membiarkan ia mencecah puluhan ribu ringgit," ujarnya.


Wan Raja kini cari jalan selesaikan bayaran bil telefon tersebut.

Dalam pada itu, Wan Raja berkata, perkara tersebut menjadi lebih rumit apabila nombor telefon berkenaan didaftar atas nama ibunya yang berada di Pulau Pinang.

Dia terpaksa memberi penjelasan kepada ibunya agar tidak terkejut dengan jumlah bil tersebut.

"Saya terpaksa balik ke Pulau Pinang untuk selesaikan hal ini kerana nombor telefon ini didaftarkan atas nama ibu di Pulau Pinang dan saya kena jelaskan perkara ini kepada ibu saya kerana takut dia terkejut dengan bil berkenaan.

"Biasalah, orang tua akan terkejut tengok jumlah yang besar begitu, ibu saya pula ada sakit jatung. Jadi sebelum pihak telco hantar bil di kampung baik saya jelaskan kepadanya terlebih dahulu," ujarnya.

Tambah Wan Raja, dia kini masih mencari jalan untuk menyelesaikan perkara tersebut dan mengambil tindakan yang sewajarnya jika terbukti menjadi mangsa pihak telco berkenaan.

Previous Post Next Post