Siti Nordiana nafi bercinta dengan pengurus sendiri


BARU-BARU ini tersebar spekulasi mengaitkan penyanyi Siti Nordiana, 31, yang dikatakan bercinta dengan pengurusnya sendiri, Anas.

Bagaimanapun, penyanyi yang mendapat perhatian semula selepas memenangi program realiti Juara Gegarvaganza musim kedua itu, tampil menafikan perkara itu dan menganggap gosip itu sebagai resam kehidupan seorang artis.

"Memang tiada sebarang hubungan cinta antara saya dan Anas. Mungkin orang tengok dia selalu ke hulu ke hilir bersama saya atas urusan kerja, jadi mereka pantas menganggap adanya hubungan istimewa antara kami," jelasnya dipetik BHOnline.


Menurutnya lagi, pengurusnya itu telah lama menjaga kerjaya seni iaitu sejak berada di bawah pengurusan FMC sambil menambah dia turut mempunyai seorang pembantu peribadi wanita.

Siti Nordiana atau lebih dikenali sebagai Nana mempunyai seorang anak lelaki Mohamad Rayyan Nakhaie hasil perkongsiannya dengan pelakon drama, Mohd Faizal Yusup.

Nana dan Faizal berkahwin pada tahun 2006 namun berpisah tiga tahun kemudian.

Previous Post Next Post