Soo Wincci malu terima angpau


TAHUN Baharu Cina merupakan perayaan terpenting bagi masyarakat Cina mengikut kalendar bulan Cina.

Begitu jugalah yang dirasai oleh model, penyanyi dan pengacara jelita Malaysia, Soo Wincci.

Memilih untuk menyambut Tahun Baharu Cina bersama keluarga di Kuala Lumpur sama seperti setiap tahun, Wincci berkata, dia bagaimanapun ingin memecah tradisi masyarakat Cina dari sudut pemberian angpau.

Umum mengetahui bahawa mereka yang belum berkahwin akan menerima angpau atau duit raya daripada mereka yang sudah berkahwin. Tidak kiralah sama ada individu tersebut masih kecil atau sudah tua.

"Bila dah berusia dan berkerjaya, Wincci rasa malu untuk terima angpau. Kalau ada yang beri, Wincci tak akan belanjakan dan beri kepada orang lain atau beri kembali kepada orang yang beri Wincci angpau tersebut.

"Wincci lagi senang ikut budaya masyarakat Melayu yang memberikan duit raya kepada orang lain, walaupun Wincci belum lagi berkahwin.

"Malah, untuk tahun baharu ini, Wincci turut memberi duit raya kepada ibu bapa dan pekerja dan artis di bawah naungan syarikat Wincci," katanya kepada Zass.

Bercerita lanjut mengenai sambutan perayaan yang merupakan tahun Monyet untuk tahun ini, Wincci berkata, mengikut kepercayaan masyarakat Cina, Monyet dikatakan boleh memanjat lebih tinggi dan begitulah dengan kehidupan dan kerjaya yang boleh terus maju lebih tinggi.

"Tahun ini Wincci bercuti agak lambat. Semalam (Ahad) selepas makan besar dan Lou Sang, Wincci bergegas ke NTV7 untuk program siaran langsung sempena Tahun Baharu Cina.

"Wincci juga baru sahaja pulang dari China kerana mewakili Malaysia membuat persembahan di negara berkenaan.

"Bagaimanapun dalam kesibukan, Wincci sempat juga tolong kakak kemas rumah dan buat makan-makan untuk pekerja dan artis Wincci.

"Mungkin dua tiga hari lagi, Wincci akan mula bekerja semula," katanya.

Berkongsi kenangannya menyambut perayaan Tahun Baharu Cina yang tidak dapat dilupakan, wanita berusia 30 tahun ini berkata, dia pernah beraya di perantauan kerana belajar di University of Reading, United Kingdom.

"Ketika menuntut di London, Wincci terpaksa beraya di luar negara sebanyak dua kali.

"Bagaimanapun bagi Wincci, sambutan di sana lebih meriah dan pelancong juga turut sama meraikan Tahun Baharu Cina bersama-sama.

"Namun kini Wincci lihat, bangsa Melayu dan India juga sudah mula menerima dan turut menyambut Tahun Baharu Cina. Apatah lagi kita ada perkahwinan campur dan membuatkan kita menghormati fahaman antara satu sama lain," ujarnya.


Sibuk bekerja

Dalam pada itu, Wincci berkata, sejak mengambil alih syarikat pengurusannya, Beyond Artist, Wincci mengakui jadualnya semakin padat.

Bagaimanapun dia sedaya upaya membahagikan masa sebaik mungkin bersama keluarganya.

"Dulu Wincci memang gila kerja. Sekarang Wincci cuba hadkan dan bahagi masa sebaik mungkin.

"Bagaimanapun Wincci tak dapat menolak apabila terpaksa berulang alik dari Malaysia ke Taiwan dan kemudian ke China.

"Buat masa ini Wincci sibuk membantu artis di bawah syarikat Wincci membina nama di dua negara berkenaan dan Malaysia.

"Jadi Wincci kena fokus pada platform antarabangsa dan menjalinkan kerjasama dengan beberapa pihak di sana," jelasnya.

Antara artis yang bernaung di bawah syarikatnya ialah Hanz, Cindy Chen, Eunice Hoo, Mad August, Winson Goo dan Gary Yap.

Ditanya soal cinta, Wincci berkata, buat masa ini dia lebih selesa memberi fokus terhadap keluarga dan karier terlebih dahulu.

Ujar wanita yang pernah tergolong dalam kategori 100 wanita tercantik dunia ini, masih banyak impian yang perlu direalisasikannya.

"Keluarga tidak pernah beri tekanan atau bertanya bila Wincci mahu berkahwin. Malah kalau ada kekasih pun, Wincci bimbang dia tertekan dengan jadual kerja Wincci yang padat.

"Melainkan ada lelaki yang setuju untuk bersama Wincci tetap memberikan kebebasan dan kepercayaan kepada Wincci, baru saya akan pertimbangkan.

"Wincci pun kadang-kadang rasa penat untuk mencari jodoh kerana selalunya salah. Jadi biarlah kali ini jodoh datang kepada Wincci.

"Apa yang penting buat masa ini adalah mengharumkan nama Malaysia di luar negara dan membantu membawa lebih banyak lagi artis ke pasaran luar," jelasnya.

Previous Post Next Post