Yana Samsudin kekok bersama Farid Kamil


BAGI seseorang pelakon, tentu ada cabaran yang perlu dihadapi dalam menjayakan watak yang digalas.

Biarpun bukan kali pertama digandingkan dalam sesebuah lakonan, aktres popular, Yana Samsudin akui kekok apabila dia ditemukan dengan aktor Farid Kamil menerusi drama bersiri Qanun 99.

Menurut Yana, perasaan itu mula timbul sejak dia bergelar adik ipar kepada aktor tersebut.

“Kalau nak diikutkan, sebelum ini kami banyak berlakon bersama dan sepatutnya semuanya lebih mudah.

“Tapi tidak tahu kenapa kali ini perasaan kekok itu timbul. Mungkin kerana status kami sudah berbeza daripada sebelumnya.

“Apabila ada babak yang memerlukan kami bertentangan mata pun saya sudah rasa pelik dan kekok.

“Ketika awal ditawarkan lakonan ini, saya benar-benar mengharap tidak akan ada babak yang menuntut dua karakter ini bercinta sebab saya benar-benar segan dengannya,” katanya sambil tertawa.


Namun sebagai seorang pelakon, Yana bagaimanapun mahu bersikap profesional dalam menjayakan lakonannya.

“Secara jujurnya memang saya kekok tapi tidak tahulah bagaimana dengan Farid sendiri.

“Tapi sebagai seorang pelakon, saya mahu lakukannya dengan baik,” katanya.

Mengulas lebih lanjut mengenai lakonannya, Yana yang memegang watak Zahara sebagai seorang peguam mengajak peminatnya untuk menonton drama bersiri memandangkan ia bukanlah bersifat hiburan semata-mata malah, banyak manfaat yang boleh diperolehi.

“Ini kali pertama saya memegang watak sebagai seorang peguam syariah. Secara peribadinya, saya sangat suka dengan jalan ceritanya.

“Dalam 13 episod ini ada pelbagai permasalahan yang berlaku dan daripada setiap satunya memberi pengajaran dan juga informasi yang berguna yang mungkin sebelum ini kita tidak pernah tahu,” katanya sebelum mengakhiri perbualan.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »