Aishah Ilias mengintai sinar


KEMBALI - Aishah Ilias mahu kembali aktif dalam bidang lakonan walaupun terpaksa merangkak semula dari bawah. Dia kini bakal muncul dengan sebuah filem terbaharu berjudul Usin UFO, 10 Mac ini.

AISHAH ILIAS pernah mengimpikan sebuah kehidupan yang selesa dan stabil selepas menjadikan bidang lakonan sebagai periuk nasinya. Memulakan langkah sebagai anak seni sekitar empat tahun lalu, nama Aishah dalam industri hiburan terus dikenali selepas telenovela Cinta Ibadah mencipta fenomena tersendiri dalam kalangan peminat.

Namun, kehangatan namanya tidak kekal lama. Setelah telenovela yang turut dijayakan pelakon Fattah Amin dan Hisyam Hamid itu berakhir pada pertengahan tahun lalu, momentum lakonan Aishah juga turun dengan mendadak.

Bagaikan telah diatur, kelibat wanita berusia 29 tahun itu di layar kaca juga semakin menghilang, meninggalkan peminatnya menanti dengan seribu satu pertanyaan.

“Saya tidak pernah hilang daripada dunia lakonan. Cuma, saya mengambil keputusan untuk memperlahankan karier selepas keluarga mengalami sedikit masalah.

“Bagi saya, ia merupakan satu keputusan yang terbaik, memandangkan keluarga memerlukan saya ketika ini,” jelas Aishah membuka bicara.

Sepanjang berbicara empat mata dengannya, patah suara yang dituturkan Aishah sesekali kedengaran mendatar, memberi gambaran bahawa beban yang tergalas di bahunya bukan perkara enteng.

“Suami kepada kakak saya baru sahaja meninggal dunia awal tahun lalu. Dua orang anaknya, Haida Sofia dan Hannah Sofia masih kecil. Seorang berusia setahun dan seorang lagi empat bulan.

“Sebagai satu-satunya adik kandung, saya berasa bertanggungjawab untuk menghulurkan bantuan. Sayalah yang menggantikan tempat abang ipar untuk menjaga anak-anaknya sejak arwah tiada.

“Disebabkan itu, saya mengambil keputusan untuk mengurangkan aktiviti lakonan dan membantu apa yang perlu,” katanya yang turut kehilangan ayah kandung ketika baru berusia 12 tahun.

Memahami erti kepayahan dibesarkan tanpa kehadiran seorang ayah, Aishah berkata, dia mahukan yang terbaik buat anak-anak buahnya agar masa depan mereka terjamin cerah dan dapat membesar seperti kanak-kanak normal yang lain.

“Membesar tanpa kehadiran ayah bukan suatu perkara yang mudah. Banyak perkara yang telah saya lalui sejak dahulu termasuklah kerap memberontak.

“Saya tidak mahu ia berlaku kepada anak-anak kakak saya. Jadi, biarlah tumpuan diberikan kepada anak-anak saudara sehinggalah mereka sudah mampu berdikari,” ujarnya lagi.

Melanjutkan bicara mengenai ujian berat yang menimpa keluarga, Aishah berkata, bukan tujuannya untuk merahsiakan perkara tersebut. Namun, cukup dimengertikannya bahawa jika bukan dia yang membantu keluarga, tiada siapa yang selayaknya dapat meringankan beban tersebut.

“Bukan tidak mahu bercerita kepada sesiapa. Bagi saya, simpati khalayak semata-mata tidak dapat menyelesaikan masalah keluarga. Mahu atau tidak, saya terpaksa berkorban demi mereka.

“Saya juga pernah bertanya kepada diri sendiri, kenapa saya dan keluarga diuji dengan perkara seberat ini. Tetapi, apabila memandang daripada sudut positif, saya faham ia dapat menguatkan lagi hubungan kekeluargaan di antara kami,” ujarnya yang kini reda dengan ujian yang telah ditakdirkan Tuhan.

Hidup tanpa lelaki

Akui wanita kelahiran Kuala Lumpur itu, membesar dalam keluarga yang hanya terdiri daripada kaum wanita menyebabkan dia berasa janggal untuk mendekati lelaki.

Walaupun pernah berpacaran beberapa tahun lalu, hubungan tersebut tidak kekal lama akibat masalah komunikasi dan tiada persefahaman.

“Rasa ingin bercinta itu ada. Tetapi, agak sukar untuk mendekati lelaki kerana saya dibesarkan oleh ibu dan kakak.

“Jika ada sekalipun, hubungan tersebut tidak kekal lama kerana tiada persefahaman, lebih-lebih lagi apabila memasuki persoalan kerja,” katanya.

Ditanya apakah kriteria yang perlu ada pada lelaki yang ingin bercinta dengannya, Aishah berkata: “ Saya tidak pernah memilih pasangan. Asalkan dia seorang yang memahami dan bertanggungjawab, itu sudah memadai.”


Karier

Mengajak Aishah bercakap mengenai kelangsungan kariernya, wanita tinggi lampai itu memberitahu, dia kini mencuba untuk kembali membina nama sebagai pelakon selepas ‘hilang’ daripada radar dunia hiburan sejak tahun lalu.

Ujar Aishah, keputusan untuk berehat beberapa bulan selepas membintangi drama Cinta Ibadah memakan diri kerana dia mula mengamalkan sikap sambil lewa dan kerap menolak beberapa tawaran lakonan yang diberikan kepadanya.

“Ketika itu, banyak tawaran lakonan yang saya tolak. Walaupun mendapat watak dan cerita yang bagus, saya tolak mentah-mentah.

“Mungkin disebabkan sikap sambil lewa ini juga, saya telah terlepas beberapa naskhah yang menarik dan kurang muncul di kaca televisyen. Jadi, saya berazam untuk kembali aktif dan mempertimbangkan jika menerima tawaran yang menarik,” katanya.

Tambah pelakon yang pernah membintangi filem Paku tersebut, jika diberi peluang sekali lagi untuk membintangi sebuah drama telenovela, dia tidak akan menolak.

“Ramai yang mendakwa, drama jenis telenovela boleh membunuh karier seseorang pelakon. Bagi saya, ia merupakan platform terbaik untuk mengembangkan bakat lakonan.

“Tambahan pula, pendapatan untuk jangka masa yang panjang telah terjamin,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Aishah bakal muncul dengan filem terbaharu bertemakan sains fiksyen berjudul Usin UFO pada 10 Mac ini.

Menurut Aishah, filem Usin UFO merupakan filem sains fiksyen pertama lakonannya dan merupakan kolaborasi perdananya bersama pengarah dan pelakon, Zul Yahya.

“Zul merupakan seorang pengarah yang mementingkan penghayatan dan lontaran dialog para pelakon.

“Walaupun pertama kali bekerja dengannya, banyak perkara yang saya belajar daripada Zul,” katanya bakal membintangi filem Aku Bukan Pretty Woman tidak lama lagi.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »