Awie realisasi impian terbit filem


NAMA figura ini di dalam bidang seni sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi.

Menyertai industri seni sejak 30 tahun lalu, Awie berjaya meletakkan namanya di aras yang baik sebagai penyanyi dan pelakon berbakat besar.

Kini setelah sekian lama menjadi penyanyi dan pelakon, lelaki berusia 48 tahun ini melangkah setapak ke hadapan dan bakal menjadi penerbit filem.

Menurut pemilik nama sebenar Ahmad Azhar Othman ini, dia sudah lama merancang menerbitkan sebuah filem. Namun dalam masa sama, dia enggan terlalu terburu-buru dalam merealisasikannya.

Bagaimanapun ujar Awie, dia kini sudah bersedia untuk merakamkan filem tersebut tahun ini juga.

“Sebenarnya sebelum filem seperti KL Gangster dihasilkan lagi, saya sudah lama merancang untuk menghasilkan filem aksi.

“Idea asal dan sinopsis saya tulis sendiri, manakala skrip dan pengarahan saya serahkan pada orang lain. Insya-ALLAH jika tiada sebarang halangan, saya harap penggambaran dapat dilakukan pada tahun ini dan berkemungkinan juga saya akan berlakon dalam filem berkenaan,” katanya.

Ditanya mengapakah mengambil masa yang lama untuk merealisasikan filem tersebut, Awie berkata, bajet menjadi antara kekangan terbesarnya untuk menghasilkan filem tersebut.


“Bila saya tanya berapa bajet untuk menghasilkan filem aksi, kosnya memang tinggi. Saya pula tak nak hasilkan filem yang asal siap sahaja.

“Jadi bila ada pelabur yang mahu terlibat sama, maka saya fikir tak perlu tunggu lagi untuk menghasilkan filem ini,” ujarnya yang bakal muncul dengan filem Warna Cinta gandingan bersama Erra Fazira pada 31 Mac ini.

Dalam pada itu, selain sibuk dengan karier nyanyian dan lakonan, Awie sempat mencuri masa menjadi juri tetap Ceria Popstar.

Vokalis kumpulan Wings itu bakal bertindak sebagai juri tetap di samping penyanyi Datuk Siti Nurhaliza.

Jelas Awie, antara sebab utama dia menerima tawaran Astro adalah kerana mahu berkongsi pengalamannya sepanjang menjadi anak seni.

Dalam masa sama, dia mahu dua anaknya yang berada bawah jagaan bekas isterinya, Rozana Misbun iaitu Putra Ahmad Rezzki, 8, dan Puteri Qasseh Antasha, 6, akan menonton program itu.

“Sudah hampir setahun saya tak bertemu mereka dan saya harap kemunculan saya dalam program ini akan ditonton oleh anak-anak agar.

“Selain itu, kanak-kanak cilik yang terlibat dalam program Ceria Popstar ini sudah saya anggap macam anak-anak sendiri, jadi saya kira, ini juga adalah platform untuk berkongsi pengalaman dengan mereka,” katanya.



Temui pengganti?

Sementara itu, di tanya mengenai keputusan Rozana yang akan mengemukakan saman malu terhadapnya tidak lama lagi, Awie meminta akan bekas isterinya itu tidak terus berbohong.

Awie yang sebelum itu sudah dibebas dan dilepaskan dari tuduhan memukul Rozana mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan selepas dia bersetuju memohon maaf selain membayar kompaun sebanyak RM10,000 terhadap bekas isterinya itu.

“Saya harap dia tidak terus berbohong.

“Saya juga tidak terkesan langsung dengan apa yang hendak dia lakukan kerana fokus saya selepas ini adalah untuk mendapatkan anak-anak saya kembali,” katanya.

Ditanya adakah dia serik untuk berkahwin lain selepas ini, Awie berkata : “Insya-ALLAH kalau tiada halangan dan ada jodoh saya bersedia untuk berkahwin.

“Buat masa ini adalah berkawan tapi saya tak mahu cakap panjang mengenai perkara ini lagi,” jelasnya.

Previous Post Next Post