Zarith rakam lagu di Los Angeles


BARISAN pemenang Rockers: Pentas Panas bergambar bersama tenaga pengajar dan Norman (empat dari kiri) pada majlis pengumuman juara program realiti tersebut.

BARU sahaja melabuhkan tirainya pada hari Ahad lepas (21 Februari), program pencarian penyanyi rock pertama di Malaysia, Rockers: Pentas Panas terbitan HyppTV dan KRU Studios Sdn. Bhd. telah menyaksikan peserta bertubuh genit dari Johor, Zarith Sofea Md. Yasin, 24, muncul sebagai juara.

Kemenangan itu sekali gus menewaskan empat saingannya, Nona sebagai naib juara dan Awal pemenang tempat ketiga. Dua lagi peserta akhir program realiti tersebut, Dans dan Liawanis pula selesa di tempat keempat dan kelima.

Mesra disapa sebagai Zarith, gadis yang sememangnya telah meminati irama muzik rock sejak kecil itu membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM50,000, sebuah trofi dan gitar Music Man tajaan Ernie Ball Music Man.

Zarith turut ditawarkan kontrak rakaman bersama KRU Music. Lebih mengujakan dia juga bakal merakamkan single di Los Angeles tidak lama lagi.

Zarith yang membawakan lagu baharu berjudul Penawar Bisa ketika di pentas akhir, bersyukur dengan gelaran juara yang dinobatkan kepadanya.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana diberikan peluang untuk menjadi seorang juara. Kemenangan ini memberikan satu platform baharu buat saya untuk masuk ke dalam industri yang tidak pernah difikirkan sebelum ini.

“Ketika awal masuk ke program ini, saya tidak pernah meletakkan sasaran menjadi juara. Saya cuma hendak terpilih sebagai lima peserta pertama dan memberikan persembahan terbaik,” katanya ketika ditemui selepas sidang akhbar pemenang Rockers: Pentas Panas dan pelancaran album digital di Neway, One Utama, Petaling Jaya baru-baru ini.


Ditanya mengenai kesediaannya bergelar penyanyi rock wanita generasi baharu, Zarith berkata, perjalanan kerjayanya selepas ini merupakan pertandingan sebenar buatnya.

Mengaku sedikit gentar untuk bersaing dengan realiti sebenar dunia hiburan, namun Zarith mampu tersenyum kerana permulaannya dalam bidang seni dibekalkan dengan sebuah lagu yang bakal dirakamkan di Los Angeles. Lagu tersebut dihasilkan oleh Tam Spider dan Adam Iskandar yang merupakan hadiah kemenangan dalam program realiti tersebut.

“Sekarang saya tengah menunggu proses permohonan visa dan sementara itu saya akan membuat persediaan sebelum merakamkan lagu di Los Angeles,“ ujarnya yang mengimpikan untuk berduet dengan ratu rock, Ella.

Melanjutkan bicara, Zarith menambah hadiah kemenangannya itu akan digunakan untuk membantu perniagaan keluarganya.

“Saya ingin membantu keluarga. Saya ingin memajukan perniagaan mereka dan akan menggunakan duit tersebut dengan membelikan sebuah lori kecil (food truck) bagi memudahkan pergerakan,” katanya.

Tubuh label rock

Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif, KRU Studios Sdn. Bhd., Datuk Norman Abdul Halim, empat peserta lain yang berjaya mara ke pentas akhir juga tidak pulang dengan tangan kosong, mereka sebaliknya akan diberikan satu lagu baharu terbitan KRU Music.

Sengaja ditebak persoalan program realiti tersebut untuk musim kedua, sambil tertawa Norman berkata, dia sememangnya sudah menjangka persoalan itu.

Katanya, sebagai orang kuat yang memperkenalkan rancangan realiti tersebut, dia berharap perjalanan bekas peserta yang memasuki Rockers: Pentas Panas akan membentuk jenama rancangan realiti itu seterusnya dapat menarik lebih ramai penaja dan penyokong.

“Kami akan berusaha keras untuk meningkatkan jenama Rocker: Pentas Panas dan melalui kerjasama dengan artis-artis baharu ini, Insya-Allah saya yakin namanya akan lebih dikenali lagi.

“Saya akui memang banyak cabaran yang kami tempuhi memandangkan ini kali pertama kami menerbitkan rancangan realiti TV. Justeru, saya berharap sokongan yang diberikan ramai menjadi permulaan yang baik untuk meneruskan rancangan ini pada masa akan datang,” tutupnya.

Previous Post Next Post