Ekspresi cinta Siti Nurhaliza


MANTAP! Hanya itu yang boleh diungkapkan usai menonton Konsert Datuk Siti Nurhaliza & Friends.

Secara keseluruhan, konsert ini layak diberikan lima bintang. Daripada segi pencahayaan, pemuzik, susunan muzik dan vokal penyanyi ini tidak ada yang perlu dipertikaikan lagi.

Dalam usia 20 tahun pembabitan penghibur nombor satu negara ini, beliau ternyata tiada dua atau tiga. Berilah apa sahaja genre muzik kepadanya, pasti disampaikan begitu baik sekali.

Suasana Stadium Negara gamat dengan kehadiran 7,000 peminat setianya yang rata-rata menunggu dari jam 2 petang. Umum mengetahui konsert yang dianjurkan Yonder Music bersama Xpax Celcom ini memberikan tiket kepada peminat bertuah selepas memuat naik aplikasi Yonder Music.

Ternyata, pengalaman sepanjang 20 tahun dalam industri dimanfaatkan sepenuhnya oleh penyanyi kesayangan ramai ini.

Sementelah semangat itu ditiup dengan kehadiran ahli keluarga termasuk ibu, kakak dan juga suami membuatkan Siti bagai 'dirasuk' ketika persembahan.

Beliau memang layak digelar diva apabila sepanjang persembahan, tiada cacat celanya. Konsert selama dua jam itu diiringi orkestra 40 pemuzik dan The Gotham All Stars, sebuah band dari New York.

Memulakan persembahan secara akustik dengan rantaian lagu Aku Cinta Padamu, Percayalah, Jaga Dia Untukku dan Terbaik Bagimu, ia dilihat lebih kepada cara Siti mengekspresikan kasih dan penghargaan buat peminatnya selama ini.

“Anda tidak tahu...di belakang tadi, betapa saya gemuruh untuk membuat persembahan, tetapi melihat anda dan mendengar suara anda...saya begitu bersemangat,” katanya.


Konsert yang ke-30 ini lebih manis apabila Siti menjemput rakan-rakannya untuk sama-sama menyanyi di pentas yang sama.

“Saya berbangga dengan kehadiran mereka untuk bersama saya pada malam ini. Lebih manis apabila penyanyi antarabangsa, Anggun sudi menyanyikan lagu saya,” katanya saat memperkenalkan barisan rakan duetnya.

Selain akustik, persembahan selama dua jam itu diselitkan dengan persembahan audio-visual yang memaparkan temu bual dengan orang penting dalam perjalanan kariernya sebagai anak seni. Antaranya, ibunya sendiri, Salmah Bachik, kakak, abang serta band pertama yang bersama-sama Siti sewaktu zaman sekolahnya. Segala-galanya mengenai Siti yang begitu komited terhadap minatnya dalam bidang nyanyian.

Segmen kedua, Siti menyampaikan lagu medley Ku Mahu, Ku Milikmu dan Destinasi Cinta yang berduet bersama Sonaone dan Joe Flizzow. Siti juga berduet bersama Anggun dengan dua lagu iaitu sebuah lagu Anggun iaitu Snow On The Sahara dan Bukan Cinta Biasa. Siti kemudiannya menyampaikan lagu Cindai dengan susunan muzik lebih moden namun tidak meninggalkan keaslian lagu itu dari sudut vokalnya.

Dengan iringan orkestra, Siti menyampaikan 10 lagu bersama rakan-rakan artisnya antaranya Hafiz Suip dengan lagu Muara Hati; Cakra Khan untuk lagu Seluruh Cinta; Bagaikan Sakti bersama Faizal Tahir dan Biarlah Rahsia bersama Afgan.

Mengenang jasa orang pertama yang mencipta lagu buatnya, Siti menyampaikan lagu Jerat Percintaan, tribute kepada Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan.

Cantik dengan tiga persalinan daripada Rizman Ruzaini, persembahan Siti seolah-olah tidak nampak ‘penat’ sehinggalah pada lagu terakhirnya Lebih Indah.

Walaupun persembahan sudah tamat, penonton masih tidak berganjak. Siti akhirnya keluar semula dan menyanyikan lagu Kau Ilhamku dengan susunan muzik baharu daripada Yonder Music. Manisnya, lagu ini disampaikan dengan kesemua rakan artis yang membuat persembahan. Tidak ketinggalan Jaclyn Victor turut hadir menyanyikan lagu ini dalam versi bahasa Inggeris.

Duta Yonder Music ini sememangnya meminati penyanyi Whitney Houston sejak kecil lagi, malah membesar dengan lagu-lagu penyanyi legenda ini.

“Saya banyak belajar teknik vokal menerusi lagu-lagunya. Antara lagu yang sering saya nyanyikan adalah I Will Always Love You,” tuturnya di hadapan ribuan peminatnya.

Tidak menghampakan apabila Siti menyanyikan sedikit bait-bait lagu itu dengan alunan vokal begitu mantap.

Untuk pertama kalinya, Siti menyampaikan lagu terakhir Whitney Hounston sebelum Whitney meninggal dunia iaitu Memories. Lagu itu duetnya bersama idolanya.

“Dengan kecanggihan teknologi hari ini, saya dapat berduet dengan idola saya,” katanya.

Malam itu juga Siti turut merakam video klip lagu tersebut bersama peminatnya memandangkan ia akan menjadi single terbarunya nanti.

Pada sidang media selepas tamat konsert, Siti melahirkan keterujaan apabila konsert yang dinanti-nantikan menjadi kenyataan, lebih manis ia dibuat genap 20 tahun penglibatannya dalam bidang seni.

“Saya sangat berterima kasih. Saya rasa puas dan akhirnya dapat tidur lena malam ini,” katanya.

Selepas konsert ini, Siti akan berehat daripada aktiviti seni.

“Saya ambil cuti tahunan dan akan menghabiskan masa bersama keluarga. Tapi, akan bekerja semula seperti biasa selepas Aidilfitri nanti,” katanya.

Yonder Music sudah meraih 200,000 pengguna dan album live konsert ini akan tersedia secara eksklusif untuk pengguna Yonder Music bermula hari ini.

Previous Post Next Post