MENAFIKAN sekeras-kerasnya pernah melakukan sebarang pembedahan untuk membentuk wajah tegas Yana, perubahan berlaku selepas dia membetulkan gigi pada November tahun lalu.
Kata Yana, dia membentuk semula gigi hadapan agar selaras dengan gigi taringnya dan rawatan tersebut secara tidak langsung menyebabkan tulang rahangnya berubah sama seperti mereka yang memakai pendakap gigi.
"Perubahan pada struktur gigi mengubah bentuk muka saya secara tak langsung. Berat badan saya juga turun. Tambahan pula dengan teknik solekan seolah-olah seperti saya melakukan pembedahan wajah.
"Walhal saya seorang yang prihatin dengan kecantikan. Saya kerap ke pusat pelangsingan badan dan rawatan muka.
"Antara kaedah rawatan wajah yang saya buat termasuk face lifting iaitu urutan yang mampu menegangkan kulit yang menggendur.
"Sebab saya risau kalau dagu berlapis dan kulit menggelebeh,â katanya.
Spekulasi
Pelbagai spekulasi mengenai 'wajah baru' Yana timbul selepas dia memuat naik sekeping gambar wajahnya yang sudah siap dimekapkan di Instagram miliknya pada hujung tahun lalu.
Biarpun Yana mendakwa perubahan wajahnya itu dek kemahiran juru mekap yang menyoleknya namun banyak pihak tidak mempercayai. Ini kerana bentuk wajah Yana sebelum ini agak bulat.
Lebih menguatkan lagi spekulasi apabila perubahan itu dikatakan terjadi selepas Yana pulang daripada bercuti.
Selain itu Yana juga dikatakan membuat pembedahan membesarkan mata di negara jiran.
Pun begitu Yana menyangkal semua dakwaan tersebut dan bertegas bahawa tiada sebab untuk dia mengubah ciptaan Ilahi malah bersyukur dengan kurniaan tersebut.
"Sebenarnya dari awal lagi wajah saya ini memang tak pernah sama. Kalau kurus muka berubah begitu juga sebaliknya,â tegas Yana yang berharap agar spekulasi berkenaan wajahnya itu dihentikan segera.
Akhiri zaman solo?
Sengaja mengusik anak kelahiran Yong Peng, Johor ini tentang kemungkinan kelainan wajahnya itu disebabkan seri untuk melangkah ke alam perkahwinan, Yana tersenyum namun menafikannya.
Kata Yana, tiada lelaki istimewa dalam hidupnya pada saat ini. Menafikan dia jenis seorang yang memilih, Yana juga menyerahkan urusan jodohnya itu pada ketentuan Ilahi.
Mengakui pernah menyasarkan usia 27 tahun untuk menamatkan zaman solonya suatu ketika dahulu namun kini dia hanya mampu berdoa agar bertemu dengan lelaki yang sesuai satu hari nanti.
Mengulas dakwaan kononnya dia sedang berkawan dengan seorang anak korporat, Yana yang sedang sibuk berlakon dalam drama Suamiku Jururawat menafikan khabar angin tersebut.
"Saya tak bercinta dengan mana-mana lelaki sekarang ini. Kawan-kawan adalah... Memang ada dua tiga orang yang mencuba (untuk berkawan rapat) tapi masih belum ada yang serius," katanya yang menyukai lelaki berwawasan dan beriman untuk membimbingnya sepanjang melayari alam rumah tangga.