Jika ada yang masih ingat, kira-kira sebulan lepas Qi Razali ada mengemaskini status di Twitter berbaur cemburu apabila ternampak foto Sharnaaz Ahmad bergambar mesra dengan kekasihnya, Nelydia Senrose.
Terperanjat melihat gambar tersebut dan ditambah pula dengan keadaan diri yang tidak berapa sihat pada masa itu, ia sekaligus membuatkan Qi terasa hati.
Bagaimanapun sebaik mendapat penjelasan dari Nelydia, Qi kemudiannya mendapat tahu ia hanya sekadar adegan lakonan di dalam drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta.
Biarpun gambar-gambar mesra antara Nelydia dan Sharnaaz masih lagi dikongsikan di laman sosial, namun Qi akui sedang dalam proses untuk menerima hakikat bahawa hubungan mereka dicipta sekadar untuk mempromosikan drama berkenaan.
Setelah berbincang dengan Nelydia, saya dah faham semua ni. Walaupun mungkin saya tak boleh terima orang lain mendekati pasangan saya tapi ini bidang kerjaya dia. Jadi saya kena faham situasi sebenar dan berharap ini cuma permainan dalam fikiran sahaja. Professional itu penting.
Saya masih lagi cuba untuk terima. Gambar tidak menjadi hal kerana saya tahu ianya adalah footage dalam drama berkenaan, cuma caption yang diletakkan kalau boleh tidak perlu sampai begitu sekali. Tapi itu sekadar pendapat saya kerana bagi saya setiap orang mempunyai cara bekerja yang berbeza. Dan mungkin itu adalah cara dia (Sharnaaz).
Ingin Kahwin Secepat Mungkin
Seperti manusia lain, Qi juga tidak terlepas dari menyimpan hasrat untuk menamatkan zaman bujang memandangkan usianya pun hampir mencecah 40-an.
Memang nak berkahwin secepat mungkin, umur saya pun dah masuk 37 tahun tapi kalau ada perkara yang melengahkan untuk membuatkan kami lebih mengenali sebelum berkahwin, saya tidak kisah untuk tunggu.
Qi yang ditemui sewaktu majlis pelancaran program Selebriti Materniti Yasmin Hani di Damansara malam semalam turut mendedahkan sudah berbincang dengan keluarga Nelydia mengenai ini.
Ada berbincang dengan Nelydia dan keluarga dia tapi kalau boleh biarlah kami lepaskan Uqasha selesaikan majlis perkahwinannya dengan Pekin dulu.
Ditanya sama ada Qi akan meletakkan sebarang syarat kepada Nelydia di dalam bidang lakonan selepas bergelar suami isteri nanti, pengacara dan pelakon itu pantas menjawab ianya tidak akan berlaku.
Saya tak pernah halang dan tidak akan letak syarat untuk dia berlakon selepas kami berkahwin nanti. Tapi kalau dapat tawaran berlakon di Hollywood tu mungkin saya tak benarkan.
Namun begitu, adik ipar kepada Yasmin Hani ini sebenarnya lebih selesa sekiranya Nelydia memegang watak yang menutup aurat.
Saya suka bila dia bawak watak perempuan bertudung, rasa lembut hati bila tengok. Kalau dia boleh terus bertudung selepas ni, Alhamdulillah. Saya akan cuba bagi dia petunjuk dan bimbingan sehingga dia benar-benar bersedia untuk berhijab nanti. Benda ni tak boleh dipaksa, biar dia lakukan perlahan-lahan.
Dalam perkembangan lain, Qi juga akan melibatkan diri dalam sebuah filem pendek di mana dia sendiri akan menggalas tanggungjawab sebagai pengarah dan berhasrat menggunakan khidmat Nelydia sebagai watak utama.