KUALA LUMPUR: Jika penyanyi Anuar Zain pernah menetapkan tiket konsertnya tahun lalu setinggi RM698, tetapi pada tahun ini harganya naik hampir sekali ganda iaitu RM1,380 sempena minggu setiausaha pada April depan.
Anuar, 44, berkata jumlah itu adalah berpatutan kerana peminat bukan sahaja dapat menyaksikan persembahannya malah mereka juga akan disajikan dengan makanan, hadiah di samping janjinya untuk memberi sebuah persembahan berkualiti.
"Harga itu berpatutan kerana ia merangkumi makanan, door gift, kualiti persembahan dan memberi peluang kepada para peminat untuk mendekati diri saya.
"Kita juga menjanjikan susunan muzik yang lebih segar dan mantap bersesuaian dengan tema majlis iaitu 'Terindah'. Ia hadiah ikhlas dari saya kepada peminat yang hadir nanti," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman penganjuran persembahan istimewanya bertemakan 'Terindah... Anuar Zain' sempena Minggu Setiausaha di Bijan Bar & Restaurant di sini, petang Isnin.
Persembahan itu akan diadakan pada 8 April 2014 bermula pukul 12 tengah hari di Hotel One World, Petaling Jaya.
Selain RM1,380, harga lain yang ditawarkan bagi menyaksikan acara itu ialah RM480, RM680 dan RM980.
Pada persembahannya dalam konsert ‘Anuar Zain Tiga Dekad Muzik, Cinta dan Sanubari’ di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pada 16 Februari 2013, Anuar menjual tiket konsertnya daripada RM88 sehingga RM698.
Dalam pada itu Anuar berkata bersandarkan kepada kekuatannya dalam industri muzik tempatan dia yakin untuk menganjurkan persembahan istimewa bertemakan 'Terindah... Anuar Zain' bersempena Minggu Setiausaha itu.
Bergerak sendiri di bawah syarikat miliknya, Anuar Zain Network, Anuar memberitahu penganjuran berkenaan bakal menjadi memori terindah buat peminat-peminatnya.
"Peminat adalah bisnes untuk saya. Mereka juga banyak memberi sokongan kepada saya dalam membina karier dan kerana mereka saya berada sehingga ke tahap ini.
"Justeru dengan penganjuran Minggu Setiausaha di bawah syarikat sendiri, saya yakin dapat memberi persembahan terbaik demi kepuasan peminat setimpal dengan sokongan yang mereka berikan selama ini," katanya.
Penyanyi yang popular dengan lagu Ajari Aku ini berkata, beliau terpaksa menolak lima tawaran daripada penganjur bagi memberi tumpuan terhadap persembahan istimewa itu.
"Setakat ini, lima tawaran terpaksa ditolak. Saya ingin beri lebih fokus kepada persembahan ini. Lagipun ia pertama kali dianjurkan dengan bergerak sendiri, " katanya.
Pada persembahan selama 45 minit itu nanti, Anuar akan menyanyikan lapan buah lagu termasuk lagu Terindah secara eksklusif sambil diiringi sembilan pemuzik.
"Kita belum tentukan lagu yang akan dinyanyikan tapi kita akan buat undian di kalangan peminat untuk menentukan lagu pada malam itu nanti," katanya.
Tiket-tiket mula dijual pada 7 Februari depan menerusi www.tiketcharge.com.my manakala tiket untuk VIP boleh diperoleh terus dengan menghubungi Anuar Zain Network di talian 019-3177476 atau 012-4642030.
Untuk maklumat lanjut, layari www.facebook.com/anuarzainnetwork