Lisa Surihani Akui Rasa Kecil Hati



Mendengar berita teman baiknya, pelakon dan pengacara Scha Al-Yahya kini sudah hamil, Lisa Surihani antara orang yang paling gembira.

Malah dedah Lisa, sebelum khabar tersebut sampai ke pengetahuan umum lagi, heroin Istanbul Aku Datang ini sebenarnya sudah pun dimaklumkan terlebih dahulu oleh suami Scha sendiri iaitu Awal Ashaari.

"Awal ada beritahu saya tapi masa tu dia dengan Scha belum betul-betul pasti lagi dan tak bersedia nak kongsi berita tu dengan peminat. Tapi bila mereka dah beritahu pada umum, sebagai teman baik saya sangat gembira untuk mereka", katanya kepada Malaysian Digest.com ketika ditemui baru-baru ini.

Justeru kata Lisa, sebagai seorang isteri dia pun mengharapkan gilirannya melalui saat gembira seperti Scha mahupun wanita lain yang pernah hamil akan tiba satu hari nanti. Siapa yang tidak mahukan zuriat, namun mungkin belum rezeki dia dan suaminya.

Begitupun, menurut Lisa dia tidak kisah dengan pertanyaan ramai tentang bila lagi mereka suami isteri mahu menimang cahaya mata. Cuma dia berasa kecil hati bila ada beberapa pertanyaan diajukan padanya sehingga menyentuh soal yang terlalu peribadi.

"Saya tak kisah kalau orang kerap bertanya, bila lagi, bila lagi...? Ini semua kuasa Allah. Mungkin belum rezeki kami. Tapi saya tak boleh terima bila ada soalan-soalan daripada orang sekeliling yang sampaikan menyentuh hal yang terlalu peribadi.

"Saya tak faham kenapa mereka tak sensitif dan tak menjaga perasaan orang lain. Cubalah mereka letakkan diri mereka dalam situasi saya. Bukan kami tak berusaha, tapi tidaklah sampai kami perlu berkongsi tentang perkara itu pada umum.

"Disebabkan soalan-soalan yang sensitif itu, membuatkan saya asyik terfikir walhal saya dan suami, kami okay saja. Sebab itu saya luahkan rasa kesal dengan sikap beberapa pihak itu di Instagram baru-baru ni, mujur ramai yang menyokong saya dan saya rasa lega", tuturnya yang hampir dua tahun mendirikan rumah tangga dengan pengarah dan pelakon Yusry Abdul Halim.

Dalam pada itu menyentuh mengenai perkembangan karier, Lisa kini sedang sibuk menjalani penggambaran filem Cicakman The Movie 3.

Beritahu Lisa, pada awalnya timbul juga rasa bimbang untuk bekerja dibawah arahan suaminya. Namun sehingga kini semuanya berjalan lancar.



"Mulanya risau juga nak kerja dengan Yusry sebab saya ni manja, takut nanti kalau kena marah, saya terasa hati. Tapi bila di set, okay pula. Kami profesional.

"Setiap kali masuk set, dia akan panggil saya dengan nama watak saya iaitu Linda. Tapi ada sekali tu dia tersasul panggil sayang kemudian cepat-cepat dia tukar dan panggil saya Linda. Lucu pula rasanya",katanya yang sebelum ini pernah berlakon bersama dengan Yusry menerusi filem Ular.




Cuma, cabaran yang dihadapi ialah apabila dia perlu menahan gelak apabila perlu berlakon dengan Zizan.

"Tapi cabaran utamanya, saya kena tahan gelak setiap kali berlakon dengan Zizan. Tengok mukanya saja saya dah nak tergelak padahal karakter saya ialah seorang yang serius", ujarnya yang memengang watak isteri kepada Zizan dalam filem berkenaan.

Perkembangan lain, selepas penggambaran Cicakman, Lisa bakal menjayakan sebuah filem arahan Osman Ali. Namun buat masa ini judul dan jalan cerita filem yang khabarnya turut melibatkan pelakon dari Singapura dan Indonesia itu masih dirahsiakan.
Previous Post Next Post