Tonton Music di mana sahaja



Peneraju utama industri digital negara, Media Prima Digital bersama Rangkaian Radio Media Prima melancarkan Tonton Music sebagai portal sehenti untuk sumber hiburan, baru-baru ini.

Berbentuk audio, pengguna boleh memperoleh hiburan di portal baru itu menerusi laman web www.tontonmusic.com.my bersempena penganjuran acara kemuncak Anugerah Juara Lagu 28 (AJL28), Ahad lalu.

Ketika ini, Tonton Music mengandungi semua 12 lagu rakaman studio dan rakaman langsung peringkat akhir AJL28.

Selain itu, Tonton Music adalah portal pertama seumpamanya yang menawarkan audio secara percuma melalui gajet pintar di Malaysia dan produk pertama di dunia menampilkan integrasi media digital secara menyeluruh.

Menjelang hujung Mac depan pula, portal berkenaan bakal muat naik lebih 700,000 koleksi lagu tempatan dan antarabangsa, sekali gus membolehkan peminat menikmati kepelbagaian muzik.




Tonton Music representasi unik menampilkan jenama radio terkenal iaitu Hot FM, Fly FM, One FM serta saluran 9X TV9.

Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Digital Datuk Zainul Ariffin Mohammed Isa berkata, Media Prima Digital kini berada di kedudukan terbaik dan pengenalan Tonton Music pasti meningkatkan bilangan pengguna digital secara mendadak.

“Kami yakin mampu berkembang sejajar dengan pertumbuhan pasaran digital negara, justeru portal baru ini dilihat bakal menarik lebih ramai pengguna selain menyediakan sumber hiburan alternatif untuk masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Radio Media Prima (RRMP) Seelan Paul menyifatkan Tonton Music sebagai kolaborasi pintar bersama Media Prima Digital.

“Ini satu perkongsian bijak apabila kita dapat menyatukan peminat muzik yang juga pengguna teknologi digital tegar.

“Bukan sekadar tren tetapi evolusi zaman jelas membuktikan kepentingan teknologi menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat masa kini,” katanya yang juga Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Televisyen Media Prima.

Menurutnya, selain memenuhi jangkauan jenama kepada rangkaian radio, portal itu mampu memenuhi selera muzik masyarakat untuk mendengar seleksi lagu pilihan pada bila-bila masa dan di mana saja mereka berada.

Media Prima Digital adalah sayap digital kumpulan Media Prima Berhad yang bertanggungjawab terhadap inovasi Tonton, portal video nombor satu di Malaysia mempunyai lebih 3.5 juta pengguna berdaftar.

Selain itu, portal berkenaan mempunyai 1.5 juta pelayar unik bulanan dan lapan juta tontonan video serta 27.6 juta paparan halaman setiap bulan.

Rangkaian Radio Media memiliki tiga stesen radio yang menyasarkan pendengar di bawah usia 35 tahun iaitu Hot FM, Fly FM serta One FM dengan 4.4 juta pengikut di laman sosial.

Pencapaian itu satu kejayaan sebagai sebuah rangkaian radio yang bersifat kompetitif.

Segala informasi serta hebahan aktiviti stesen radio berkenaan sememangnya agresif menerusi aktiviti yang boleh diikuti melalui akaun media sosial masing-masing.
Previous Post Next Post