Zalif Sidek Kongsi Pengalaman Ditampar Mak Mah



PETALING JAYA: Pelakon baharu Zalif Sidek menceritakan pernah ditampar oleh pelakon veteran Ruminah Sidek ketika melakonkan adegan pertama dalam filem Jangan Pandang Belakang Boleh?.

Zalif berkata, perkara tersebut berpunca apabila dia sukar untuk melontarkan dialog yang sepatutnya dilakonkan di hadapan pelakon veteran tersebut.

"Ini kali pertama saya berlakon dengan Mak Mah dan perasaan sangat berdebar sehingga saya tergamam dan sukar untuk mengingat dialog yang sepatutnya saya ucapkan.

"Mak Mah yang ketika itu berada di hadapan saya secara tiba-tiba menampar pipi saya," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun, kata Zalif, dia menganggap tindakan tersebut sebagai gurauan dan salam perkenalan yang membuatkan mereka lebih selesa untuk bekerjasama.

Tambahnya, sepanjang penggambaran dan adegan bersama pelakon veteran tersebut, dia sering diuji dengan dialog-dialog penambahan yang tiada di dalam skrip.

Perkara tersebut membuatkan dia sentiasa peka dan bersedia apabila berhadapan dengan wanita berusia 68 tahun itu.

"Berlakon dengan Mak Mah memberi saya pengalaman baru yang mana sentiasa bersedia dengan lakonannya yang tiada di dalam skrip.


Antara babak Zalif bersama Mak Mah dalam filem Jangan Pandang Belakang Boleh?

"Dia sendiri mengakui sengaja untuk menguji kebolehan dan sejauh mana saya bersedia untuk menjadi seorang pelakon," katanya.

Tambah Zalif, sebagai pelakon baharu, dia beruntung kerana diberi peluang untuk bekerjasama dengan pelakon yang berpengalaman itu.

Sementara itu, Zalif yang memegang watak Dharma dalam filem tersebut mengakui agak sukar melakonkan karakter lelaki lembut.




Katanya, dia terpaksa membuat pemerhatian dan kajian terlebih dahulu agar lakonannya tidak menjengkelkan.

"Watak ini memerlukan saya menjadi seorang lelaki yang lembut dan suka kepada warna merah jambu.

"Saya ada buat pemerhatian dan kajian dahulu agar lakonan saya tidak seperti dibuat-buat," katanya.

Filem Jangan Pandang Belakang Boleh? bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 31 Januari ini.
Previous Post Next Post