Bidasari Kembalikan pementasan bangsawan


PASANGAN kekasih ini tidak menghadapi masalah melakonkan babak berkasih dalam teater Bidasari.

Sejak akhir-akhir ini pementasan bangsawan semakin kurang mendapat tempat di pentas teater kerana kebanyakannya slot teater lebih tertumpu kepada pementasan moden dan komersial.

Sesuatu yang menarik apabila Istana Budaya mengambil langkah mementaskan bangsawan Bidasari apatah lagi dengan sentuhan muka-muka baharu menghiasi pementasan kali ini. Teater arahan Lokman Ghani itu dipentaskan sejak 10 Februari lalu dan berakhir malam ini.

Tidak dinafikan, wajah-wajah komersial turut diselitkan untuk menerajui Bidasari seperti Aiman Hakim Ridza, Nur Fathia dan Hairul Azreen.

Melihat kepada keseluruhan pementasan, barisan pelakon memberikan yang terbaik, malah, naskhah yang diadaptasi daripada filem Bidasari arahan Jamil Sulong ini menghiburkan.

Aiman yang membawa watak Tengku Indra boleh dipuji pembawakan wataknya walaupun masih baharu dalam pementasan itu.




Malah, bunga silat yang dibukanya juga sesuai dengan struktur badannya yang tinggi dan menjadikan dia nampak lebih gagah di bawah sinaran lampu pentas.

Risau juga melihat Aiman perlu bersilat kerana langkah dan bukaan silat perlu disesuaikan dengan badan untuk menampakkan kegagahan. Ternyata dia berjaya menampilkan dirinya.

Bagi Nur Fathia pula, kurang pasti di mana kurangnya, tetapi dia nampak kaku dalam pementasan kali ini.

Mungkin masa yang singkat membuatkan dia rasa kekok tetapi pujian harus diberikan kerana dia berani untuk menerima tawaran terlibat dengan pementasan bangsawan.

Begitu juga dengan Hairul. Secara keseluruhan lakonan Hairul baik. Cuma, mungkin daripada segi aksi silat dan peranannya sebagai Tengku Iskandar, dia nampak tidak begitu menyerlah.

Berbanding dengan Aiman, Hairul sebenarnya lebih hebat dalam bersilat. Tetapi di atas pementasan, aksi akrobatik dalam silat perlu diperkuatkan lagi.

Jika tidak, fizikalnya akan tenggelam sekali gus membuatkan wataknya tidak ubah seperti sekadar pelengkap pementasan sahaja.

Pujian harus diberikan kepada Raja Azura yang membawakan watak Permaisuri Laila Sari. Sebagai seorang yang lama dalam bidang teater, ternyata kehadirannya masih ditagih untuk pementasan bangsawan.

Lakonan dan gerak tubuhnya benar-benar menanam kebencian di hati penonton.

Malah, Raja Azura juga menunjukkan langkah silat dalam pementasan kali ini dan mendapat tepukan yang gemuruh daripada penonton yang hadir. Sememangnya pelakon bangsawan perlu arif tentang perkara-perkara sebegini.

Keseluruhan, bangsawan Bidasari adalah sebuah pementasan yang berjaya dalam usaha untuk mengembalikan kegemilangan bangsawan di atas pentas.

Pelbagai ilmu yang boleh dipelajari yang kini semakin dipinggirkan oleh golongan muda dan khuatir elemen tradisi seperti ini akan luput daripada menjadi sebahagian daripada warisan Melayu.
Previous Post Next Post