Dazrin Akui Salah, Minta Maaf Kepada Semua



Sejak isu tidak berdisiplin membabitkan pelakon Dazrin Kamarudin timbul pada hujung Januari lalu, ramai pihak yang cuba mendapatkan kenyataan daripada pelakon drama ‘Miranda’ ini. Walau bagaimanapun, Dazrin lebih selesa untuk tidak memberi sebarang komen dan memberitahu akan mengadakan sidang media bagi memberi penjelasan berhubung isu tersebut.

Namun, selepas lebih dua minggu berlalu, nampaknya masih belum ada tanda-tanda yang pelakon berusia 26 tahun ini akan mengadakan sebarang sidang media. Justeru, ketika berlangsungnya malam kemuncak Planet Joget di Auditorium Perdana, Angkasapuri, pada malam Ahad, pihak media menggunakan peluang yang ada untuk bertanyakan lebih lanjut kepada Dazrin mengenai kontroversi yang timbul.

“Sekarang ini saya sibuk dengan banyak perkara dan masih lagi menunggu tarikh yang sesuai untuk mengadakan sidang akhbar tersebut. Memandangkan ia melibatkan ramai pihak, jadi saya serahkan kepada pihak produksi untuk menetapkan tarikh bagi sidang akhbar tersebut,” jelas Dazrin sambil mengakui kesalahan yang dilakukannya.

“Tujuan saya mahu mengadakan sidang akhbar tersebut adalah untuk meminta maaf atas apa yang saya dah lakukan selama ini. Saya minta maaf jika selama saya bekerja dengan mana-mana pihak, saya ada buat mereka tersinggung. Saya sedar selama ini bukan dengan pihak produksi Miranda saja perkara ini berlaku, namun produksi lain juga pernah mengalami masalah yang sama kerana saya.

Walaupun perkara ini berlaku, namun tak pernah ada yang berani menyuarakan mahupun membangkitkan isu ini. Saya akui saya salah serta melakukan kesilapan, jadi saya ingin memohon maaf kepada semua pihak yang terasa dengan perbuatan saya.”

Terdahulu, Dazrin didakwa sering lewat tiba di lokasi penggambaran drama bersiri 15 episod itu serta sering menghilangkan diri selama beberapa jam sehingga mencetuskan konflik dan mengganggu jadual penggambaran. Ditanya apakah masalah yang dihadapinya sehingga dia datang lewat ke lokasi dan sering menimbulkan masalah, ini jawapannya.

“Ada pelbagai sebab, dari masalah peribadi, bangun lewat sehinggalah pelbagai lagi isu yang mendorong ke arah faktor tersebut. Di sebalik gelaran sebagai hos dan pelakon, saya juga masih manusia biasa yang tetap ada masalah. Namun, saya tak boleh gunakan masalah yang dihadapi sebagai alasan untuk saya datang lambat. Walaupun kontroversi ini menjejaskan karier saya, namun saya terima saja apa yang berlaku kerana saya sedar saya berada di pihak yang salah,” tuturnya lagi.




Menurut Dazrin, dia redha dengan kontroversi yang berlaku dan sebagai pelakon baru, dia menerima apa sahaja kritikan atau nasihat yang diberikan. Pelakon drama ‘Adam dan Hawa’ ini juga percaya segala apa yang berlaku mempunyai sebab tersendiri dan mengakui ia sedikit sebanyak dapat mengubah dirinya supaya menjadi individu yang lebih baik. Mengenai hubungannya dengan pengarah Along Kamaludin dan pelakon Fasha Sandha, Dazrin memberitahu hubungannya dengan kedua-dua individu terbabit berjalan seperti biasa.

“Saya bersyukur kerana dapat berlakon di bawah arahan Along kerana walaupun tegas, dia seorang yang adil. Dia nampak perubahan pada diri saya dan selepas apa yang berlaku, dia tetap memberi peluang kedua kepada saya di mana saya kini sedang menjalani penggambaran drama ‘Kafe Safiyah’ di bawah arahannya.

Hubungan saya dengan Fasha juga okey dan saya respek dia sebagai pelakon yang lebih lama. Saya juga hormat tentang apa yang disuarakan dan jika tidak ada orang yang menegur saya seperti Fasha, saya takkan sedar dengan kesalahan yang saya lakukan. Jadi, saya berterima kasih kepada semua yang mengambil inisiatif untuk menegur saya dan saya percaya teguran itu sebagai tanda mereka sayangkan kita. InsyaAllah, saya akan cuba lakukan yang terbaik untuk mengubah keadaan,” ujar Dazrin mengakhiri perbualan.
Previous Post Next Post