Izara Aishah Menyampah Tengok Lakonan Sendiri



Pelakon yang popular menerusi drama bersiri 'Vanilla Coklat', Izara Aishah menjelaskan dia tidak berpuas hati menonton aksi sendiri dalam filem terbarunya, 'Sejoli' yang bakal ditayangkan pada 20 Februari ini. Filem tersebut menggandingkan Izara bersama Bront Palarae, Maya Karin, Remy Ishak, Azad Jazmin, Dira Abu Zahar dan ramai lagi.

"Saya puas melihat lakonan orang lain tetapi saya tidak puas hati melihat lakonan sendiri. Ini merupakan kali pertama saya berlakon di bawah arahan Osman Ali. Saya rasa kadang kala saya terlebih 'over', rasa menyampah pun ada. Saya rasa teruk, tapi dari situ saya akan baiki mutu lakonan saya," ujar Izara ketika ditemui usai majlis tayangan filem 'Sejoli' di Cathay Cineplex, Damansara pada Jumaat.

"Pada mulanya, saya rasa gemuruh apabila mendapat tawaran ini daripada pengarah. Saya merupakan peminat Osman dan saya suka filem-filem yang pernah dihasilkan olehnya. Apabila melihat senarai pelakon-pelakon lain, saya menjadi tambah gementar.

Ini kerana semuanya lebih senior dan berpengalaman daripada saya. Saya rasakan itu adalah satu cabaran dan saya harus mengambil peluang ini. Saya juga ada menghadiri kelas lakonan sebelum bermulanya penggambaran filem ini," ujar Izara lagi.




Dalam masa yang sama, pelakon ini turut mengakui yang dia sebenarnya teruja dapat bekerjasama dengan mereka yang lebih berpengalaman.

"Bekerja dengan Osman memberikan saya pengalaman baru. Semasa proses penggambaran, apa yang dia jelaskan kepada saya sebelum memulakan sesuatu babak, prosesnya sangat jelas. Osman sangat profesional. Saya juga teruja berlakon bersama pelakon-pelakon senior lain yang berpengalaman. Mereka semua memberikan saya input yang baik dalam lakonan saya," tutur Izara lagi.

Dalam perkembangan lain, Izara bakal menjalani penggambaran sebuah telemovie arahan Osman Ali yang bertajuk 'Toll Gate Asmara' dan bermula 20 Februari ini, Izara bakal memasuki set penggambaran filem bertemakan pontianak arahan Ellie Suriaty.
Previous Post Next Post