
PERNAHKAH kamu mendengar lagu All The Time, Midnight Mosque Song, Only Love Can Break My Heart, Up And Down mahupun Soul Sister dendangan The Sigit (The Super Insurgent Group of Intemperance Talent).
Berasal dari Bandung, Jawa Barat, The Sigit dianggotai Aditya Bagja, Donar Armando, Farri Icksan dan Rektivianto. Kesemuanya membesar dalam budaya yang cukup berbeza, sekali gus membuatkan muzik mereka berpandangan jauh.
Biarpun lahir secara underground, hal itu tidak menghalang kumpulan The Sigit memikat hati peminat muzik arus perdana.
Lihat sahaja album Detourn mereka yang diiktiraf sebagai album Indonesia terbaik 2013 oleh majalah Rolling Stone Indonesia.
Setelah merealisasikan album tersebut, konsert tunggal mereka tahun lalu juga tersenarai sebagai antara konsert paling sukses dalam sejarah muzik indie di negara Garuda itu.
Walaupun dipenuhi pelbagai kejayaan dan pengiktirafan, The Sigit masih merasakan band itu tidak terkenal seperti band lain.
"Sampai detik ini pun, kami belum sepenuhnya berjaya di Indonesia, apalagi di Malaysia dan di peringkat global.
"Saya rasa semua kejayaan memerlukan dedikasi dan ketekunan. Sebab itu, kami berikan sebaik mungkin, sampai puas," kata kumpulan itu dalam e-mel kepada .com.
Jika dibandingkan dengan kumpulan lain yang mendapat pendedahan besar melalui televisyen, pasaran album The Sigit masih kecil.
Namun keadaan itu menjadikan penggemar The Sigit lebih menghargai muzik dan persembahan mereka.
"Ramai peminat mengenali kami bukan daripada media massa tetapi menerusi lagu-lagu kami.
"Kami tidak terlalu memikirkan mengenai populariti, malah lebih kepada penghasilan muzik yang memuaskan hati setiap peminat," kata kumpulan itu.
Selain lagu, The Sigit sangat mementingkan imej kerana reputasi sesebuah kumpulan itu dinilai melalui jati diri mereka.
"Jika sesebuah kumpulan itu dapat menguasai imej diri mereka, maka kumpulan tersebut dapat menyuarakan dirinya dengan lebih baik," katanya.
Jelas The Sigit, selain imej sesebuah kumpulan, bakat juga memainkan peranan penting.
"Penghasilan lagu perlu mengambil kira isu semasa yang terjadi dalam persekitaran dan kehidupan harian kita," katanya.
Pendedahan kepada bunyi muzik rock era 70-an menjadi sumber inspirasi buat mereka berkarya, selain bunyi-bunyian genre daripada muzik lain seperti punk, funk, soul bahkan hip-hop.
Buat peminat yang ingin mengenali The Sigit lebih dekat, sila layari laman www.thesigit.com atau ikuti perkembangan mereka menerusi laman www.facebook.com/thesigitofficial, twitter.com/thesigit dan myspace.com/thesigit.