Ain miliki pelbagai bakat

Pembabitan Ainul Aishah dalam dunia komersial bermula sejak usia 13 tahun. Ia bermula secara tidak se­ngaja apabila disapa wakil agensi pencarian bakat ketika berjalan-jalan di pusat beli-belah KLCC.

Dari situ, Ainul atau mesra dengan panggilan Ain menjayakan iklan di media cetak dan elektronik. Iklan pertamanya menjadi gadis katalog gedung beli-belah Makro diikuti Celcom, Maxis, TNB, Head & Shoulders, Pantene, Hotlink dan Maggi sebelum menyertai lakonan.
Penampilan pertamanya menerusi drama Bong dianggap salam perkenalan. Peluang kedua datang apabila Ain yang juga peserta Personaliti Celcom Harian Metro 2005-2006 (PCM 05) dipelawa pengarah A Razak Mohaideen menyertai uji bakat berlakon ketika menikmati makanan di Pulau Pinang pada malam Syawal.

Berjaya mendapat tempat dalam filem Nana Tanjung, lakonan pertamanya di layar perak mendapat kritikan penonton, tetapi filem itu membawa tuah apabila disenaraikan dalam Top 5 Pelakon Wanita Harapan di Festival Filem Malaysia ke-20.


Tidak hanya tertumpu pada bidang lakonan dan peragaan, Ain juga mengembangkan bakat dalam bidang seni menerusi pe­ngacaraan beberapa program.




Pernah mengikat kontrak lima tahun dengan LineClear Sdn Bhd, kemudian menyertai Aquila Emas Sdn Bhd pada 2009, Ain ingin menceburi bidang seni sebagai penyanyi. Namun, kerjaya lakonan datang lebih awal.

Sempat menghasilkan dua single, The Old Him dan Don’t Worry Honey, Ain terbiasa membuat persembahan di depan orang ramai. Dia sering diminta ibu bapanya mengadakan persembahan dalam acara dianjurkan syarikat di tempat orang tuanya bekerja.

Mengenai cinta, Ain pernah menjalin hubu­ngan intim dengan kru produksi dalam drama lakonannya, kemudian de­ngan anggota kumpulan indie, tetapi cuma bertahan dua tahun.

Kini menyulam cinta dengan Ben Daniel, khabar angin keretakan hubungan mereka sempat bertiup. Bagaimanapun, Ainul menegaskan, mereka masih bersama dan menyerahkan soal jodoh pada ketentuan Ilahi.

Kini Ain menjalankan perniagaan biskut Ainul A Cookies sejak tahun lalu dan turut bekerjasama dengan pereka fesyen terkenal Wanpa untuk mengembangkan perniagaan.
Previous Post Next Post