Atikah Suhaime Tak Selesa Dikongkong Kekasih



Calon Top 5 Artis Baru Wanita Popular bagi Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013, Atikah Suhaime menjelaskan dia tidak selesa apabila dikongkong oleh kekasihnya.

Pelakon drama bersiri ‘Ariana Rose’ ini menceritakan perihal kekasihnya kepada ARTISMELETOP sewaktu bertemu di di program tanggungjawab korporat sosial anjuran Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013 (ABPBH2013) di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, Kepong pada Ahad lalu.

“Sebelum saya menjadi seorang pelakon, saya akui saya mempunya kekasih. Namun begitu, dia tidak mengizinkan saya untuk berlakon. Dia juga cuba mengongkong hidup saya serba sedikit apabila saya menjadi pelakon. Jadi, saya berpisah dengannya secara baik. Saya mahu mengejar cita-cita saya untuk menjadi seorang aktres yang baik. Kini saya lebih selesa dengan status solo dan ingin menumpukan fokus kepada kerjaya,” ujar Atikah yang berasal dari Singapura ini.

Sebagai seorang perantau, Atikah kerap pulang ke kampung halamannya di Singapura iaitu sebulan sekali. Atikah juga sempat menceritakan kepada ARTISMELETOP cabaran yang dihadapi oleh dirinya dalam menjadi anak rantau untuk mencari rezeki di negara orang.




“Pertama, saya tidak tahu memandu. Malaysia negaranya lebih besar berbanding Singapura, jadi saya harus sesuaikan diri. Dalam masa yang sama, saya harus serasikan diri dengan kehidupan di sini untuk meneruskan kerjaya dan aktiviti harian, bak kata peribahasa Melayu, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak. Saya juga tiada saudara mara di sini. Jadi jika mahu keluar ke mana-mana, saya lebih selesa jika ada teman-teman dari MIG menemani saya,” ujar pelakon filem ‘Highland Tower’ ini lagi.

Dalam pada itu, menjadi seorang perantau, Atikah merasakan sifat yang paling penting yang harus disemai dalam dirinya adalah menjadi peramah. Atikah percaya dengan sikap peramah, orang akan lebih menyenangi kehadirannya di sini.

“Saya percaya, sebagai pendatang baru dalam dunia hiburan serta sebagai seorang anak rantau, saya harus sentiasa bersikap peramah. Ke mana-mana saya pergi, saya mesti murahkan senyuman, walaupun orang itu kita tidak kenali. Saya juga aktif berinteraksi dengan peminat menerusi laman sosial seperti Instagram dan Twitter,” ujar Atikah mengakhiri perbualan.

Previous Post Next Post