Awal Ashaari Bakal Buka Kafe Di The Curve



Walaupun pengacara Awal Ashaari teruja dengan berita kehamilan isterinya, Scha Al-Yahya, namun dia mengakui semakin merasai debaran kelahiran cahaya mata pertama itu. Awal yang gemar membaca kini semakin dihimpit realiti di mana pelbagai tanggungjawab baru perlu disandang oleh mereka berdua bila bergelar ibu dan bapa nanti.

“Pada mulanya memang saya begitu teruja namun semakin lama saya menjadi takut memikirkan pelbagai perancangan untuk masa hadapan. Lebih banyak yang perlu digalas apabila anak itu lahir nanti,” ujar Awal ketika ditemui di majlis sidang media rancangan 'How to Make It : Culinary Dreams' bertempat di Kolej Universiti KDU pada Khamis.

Dalam perkembangan lain, pengacara program 'Melodi' yang turut menceburkan diri dalam bidang perniagaan ini sempat berkongsi yang dia bakal membuka sebuah kafe bertempat di The Curve pada bulan Mei nanti.




“Idea tercetus ketika sedang berborak dengan Scha mengenai masa depan kami. Memandangkan kami berdua suka makan, maka saya mengambil keputusan untuk membuka sebuah kafe yang menyediakan makanan ‘fusion’.

Saya merancang untuk membuka kafe tersebut pada tahun lepas namun terbantut kerana memberi fokus kepada komitmen lain. Walaupun pertama kali mencuba bidang makanan namun saya sanggup mengambil risiko untuk masa depan kami,” ujar Awal.

Ketika ditemui, Awal berkata Scha tidak berminat untuk menceburi bidang perusahaan makanan namun isterinya tetap memberikan sepenuh sokongan kepadanya. Awal turut berkongsi yang ketika ini dia lebih banyak memasak di dapur kerana menggubah resipi mengikut bahan-bahannya sendiri manakala Scha pula lebih teliti jika ingin memasak. Antara masakan Awal yang digemari oleh Scha adalah ‘Spaghetti Bolognese’.

Dalam masa yang sama, Awal bakal tampil untuk sebuah rancangan masakan berjudul 'How to Make It : Culinary Dreams' yang bakal disiarkan mulai 9 April ini di saluran Asian Food Channel (AFC 703). Rancangan tersebut diterbitkan dengan kerjasama Kolej Universiti KDU dan IMI Univeristy Centre (IMI) serta bakal ditayangkan di 12 wilayah di seluruh rantau Asia.
Previous Post Next Post