No title



CINTA mendapat restu penuh keluarga membuatkan Hanez tidak terkesan ekoran kontroversi bercinta dengan suami orang.
BIAR seribu kecaman dilontarkan kepada Hanez Suraya Abdul Aziz, 29, gara-gara kisah cintanya dengan Romie Razin Adilha, 34, yang berstatus suami orang, pelakon itu tetap bertahan dalam kesabaran. Dia tidak menolak untuk berbicara dengan pihak media.

Buktinya, ketika wartawan Hits, Khadijah Ibrahim menghubungi Hanez Selasa lalu untuk mengetahui perkembangan terkini, dia tidak menolak untuk menjawab beberapa soalan yang diaju.

Tujuan utama adalah untuk meminta komen Hanez tentang pembatalan kontraknya sebagai duta untuk satu produk kecantikan. Tindakan ini diambil kerana kemelut cinta yang tidak berkesudahan itu.




ARTISMELETOP: Satu persatu masalah menimpa Hanez, tertekan?

Hanez: Tak! Saya macam biasa sahaja, untuk apa rasa tertekan sangat? Lagipun semua orang ada masalah, terpulang kepada kita bagaimana caranya untuk menyelesaikan kekusutan itu.

Selepas apa yang berlaku, apa komen keluarga tentang kisah cinta Hanez dengan Romie?

Keluarga tidak ada masalah. Sejak daripada awal lagi mereka sudah tahu dan merestui hubungan saya dan Romie. Memandangkan kami sudah dapat restu daripada keluarga, saya berani meneruskan hubungan ini.

Wow, dapat 'lesen' besarlah ni ya?

Apa sekalipun, bagi saya restu keluarga terlalu penring. Biarlah seribu orang mendesak saya putuskan hubungan dengan Romie tetapi selagi keluarga menyokong hubungan kami, saya tidak akan dengar pendapat orang lain. Bukan mereka di luar sana yang memberi saya makan dan berada di sisi tatkala saya susah. Tetapi keluarga tetap bersama-sama. Pada saya, selagi keluarga menyokong segala tindakan, saya akan dengar kata mereka.

Jadi, hubungan Hanez dengan Romie kekal bertahan sehingga hari ini?

Ya, kami masih bersama. Kami masih meneruskan hubungan dan bahagia. Cuma sekarang ini saya lebih senang untuk berdiam diri. Biar segala kekecohan tenang.

Apa pengajaran yang Hanez dapat ekoran kes ini?

Sebenarnya dulu selepas putus cinta dengan Awi Rafeal, saya pernah kata tidak mahu lagi berkongsi kisah peribadi dengan orang ramai. Dengan Romie ini pun saya cuba mengelak tetapi siapalah saya, hanya manusia biasa. Nak berselindung macam mana pun orang tahu juga. Bukan saya yang memandai memuat naik gambar-gambar kami di laman sosial, tetapi pihak lain. Lepas ini memang saya akan lebih berhati-hati kerana kejadian ini banyak menyedarkan saya. Sebagai artis, orang menunggu masa sahaja untuk menghentam kita.

Dikutuk terlalu teruk dan dihina ramai, dari mana Hanez mendapat kekuatan untuk menghadapi segala kata-kata celaan ini?

Dari siapa lagi, tentulah keluarga. Alhamdulillah, keluarga sentiasa berdiri di belakang dan mereka yang menyokong saya. Dek sokongan dan semangat daripada mereka, saya mampu berdiri kuat hingga hari ini.

Apa perkembangan terkini Hanez?

Ada juga tawaran berlakon drama bersiri dan telefilem tetapi semua itu saya tolak dengan cara baik. Kalau boleh saya mahu biar tenang dulu dan kemudian baharu tumpu perhatian pada kerjaya semuala. Memang sedih atas apa yang berlaku. Tetapi saya percaya rezeki ada di mana-mana dan saya yakin selepas ini masih ada lagi tawaran berlakon. Saya tidaklah duduk goyang kaki, tetap ada bekerja lain yang hendak dibuat.
Previous Post Next Post