Hatta Dolmat impi kerjasama dengan Taylor Swift



LEBIH 10 tahun berkecimpung dalam industri fesyen tempatan, nama Hatta Dolmat sememangnya sudah sebaris dengan barisan pereka ternama lain.

Menyedari tidak mudah untuk mencipta nama, menjadikannya tidak jemu mencari resipi kejayaan kerana percaya ia boleh dimiliki jika gigih berusaha dan membuka minda dengan idea-idea baharu.

Malah akuinya, kehadirannya dalam dunia fesyen tanah air bukan sekadar mahu meramaikan, sebaliknya membawa misi yang tersendiri.

Buktinya, anak kelahiran Melaka itu, kini memiliki butik sendiri atas jenama Hatta Dolmat Couture.

Dia juga antara pereka fesyen yang menjadi 'rebutan' di kalangan selebriti.

Ikuti temu bual Zass dengan pemilik nama penuh Muhammad Hatta Dolmat ini mengenai kejayaan, perancangan dan harapannya dalam industri fesyen.





Boleh ceritakan sedikit bagaimana penglibatan anda dalam industri fesyen?

Saya sangat suka dengan seni. Secara jujurnya, saya tidak tahu bidang itu cukup luas. Malah, saya tidak pernah terfikir mahu menjadi seorang pereka fesyen sebaliknya bercita-cita menjadi pereka hiasan dalaman.

Semasa permohonan ke Unit Pusat Universiti (UPU), saya memohon untuk ke bidang hiasan dalaman. Tetapi, saya mendapat panggilan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang seni reka fesyen pada 2003. Ketika itu, bidang fesyen tanah air baharu bernafas dan tidak ramai memahami kerjaya sesuai dengan pelajar fesyen.


Pencapaian anda sepanjang penglibatan dalam bidang ini?

Kejayaan pertama saya apabila menjadi juara menerusi Anugerah Pereka Muda pada 2003. Pada 2005, saya menjadi juara Trofi Pesona Pengantin dan Piala Jarum Berlian.

Saya pernah beberapa kali memenangi Pakaian Terbaik dan Pereka Popular menerusi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH). Anugerah paling bermakna buat saya apabila diiktiraf UDC Fashion Designer Of The Year dalam UDC Business Award pada 2011.

Anugerah itu bertujuan mengiktiraf pencapaian cemerlang dalam pembangunan perniagaan dengan semua hak dan keistimewaan dikekalkan dan disampaikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.


Anda lebih dikenali sebagai pereka fesyen untuk selebriti. Bagaimana ia bermula?

Sebaik saja saya tamat belajar, saya mula menceburi bidang fesyen yang menjurus kepada hiburan. Malah, maklum balas diterima amat baik dan baru saya tahu senario fesyen selebriti.

Baju yang mula-mula saya reka adalah untuk Erra Fazira. Kemudian, saya buat baju artis lain seperti Jaclyn Victor, Fasha Sandha, Julia Ziegler, Juliana Evans yang dipakai pada ABPBH.


Dalam ramai-ramai selebriti, siapakah pilihan anda?

Umumnya, saya selesa bekerjasama dengan semua artis. Tapi, artis yang betul-betul rapat dengan saya adalah Yuna. Saya memang suka dia. Dia memang dilahirkan dengan bakat dan stand out. Baju dia serba moden dan sangat up to date.


Selebriti yang anda teringin untuk bekerjasama?

Jika dapat ke Hollywood, dapat reka baju untuk artis di laluan karpet merah Oscar pun sudah cukup. Tidak kisahlah dapat mana-mana artis pun. Tapi, kalau dapat Taylor Swift lagi seronok! Dia pakai apa pun cantik.

Kalau tempatan mungkin, Shila Amzah. Dulu, saya mereka baju untuknya tetapi ketika itu dia belum berhijab. Teringin juga nak reka baju untuknya di kala dia sudah bertudung ini.


Bagaimana anda memperoleh idea bagi setiap rekaan baju anda?

Saya sentiasa peka dengan perkembangan semasa. Saya sangat memanfaatkan penggunaan teknologi seperti internet dan kemudahan media sosial.

Saya bersyukur dilahirkan pada 1982 kerana ia tahun pertengahan bagi perkembangan internet. Saya menggunakannya untuk lihat perkembangan fesyen, terutamanya di luar negara.

Trend semasa ini penting agar kita dapat memasukkan elemen itu ke dalam negara kita supaya tidak sama dengan pereka fesyen lain.


Baru-baru ini, rekaan anda disamakan dengan kartun animasi popular Jepun, Dragon Ball. Komen anda?

Tema Anugerah Meletop Era lebih relaks, santai, edgy and moden. Jadi, fesyen yang ingin dibawakan juga lebih ke arah itu.

Apabila ia disamakan dengan watak animasi Dragon Ball, terus terang saya katakan, saya bukanlah pencinta kartun animasi. Apabila mengangkat rekaan saya setaraf dengan kartun animasi Jepun, ia adalah sesuatu yang boleh dibanggakan.

Dalam industri fesyen, rekaan tersebut sangat dihargai kerana ia sesuatu perkara sangat moden. Ia bukanlah benda senang kerana imaginasi orang Jepun sangat hebat, apatah lagi masyarakat Eropah memandang tinggi fesyen dari Jepun.


Apakah reaksi anda apabila ia dikritik hebat?

Pada mulanya saya sangat terkejut. Tetapi, saya terimanya dari sudut positif. Saya seronok kerana bukan senang menterjemahkannya. Tetapi, tidak sangka ia tidak diterima masyarakat kita.

Saya ingatkan apabila banyak fokus pada fesyen, minda orang kita sudah berkembang dan boleh menerima fesyen itu secara terbuka. Tetapi, rupa-rupanya masih lagi ada yang tidak boleh menerimanya.


Rekaan mana yang anda gemari?

Saya jenis yang suka mencuba. Saya bukanlah 'setia' pada satu-satu rekaan saja. Tapi, saya ada mengekalkan identiti seperti perhiasan. Jadi, saya akan mengekalkannya. Dalam masa sama, saya tukar jenis perhiasan agar ia tidak bosan.


Siapakah ikon anda dalam bidang ini?

Kalau berkaitan dengan dunia fesyen, ia banyak dari luar negara, seperti Zuhair Murad, Channel dan Alexander Wang. Setiap pereka fesyen, ada ciri-ciri mereka tersendiri yang menyebabkan saya menyukainya. Jika pereka fesyen tempatan pula, saya menyukai Datuk Radzuwan Radziwill.


Apa perkembangan terkini anda?

Selain sibuk dengan rekaan baju untuk perkahwinan, saya juga mereka pakaian ready to wear kerjasama dengan First Lady dan Zalora. Tahun ini, saya akan mengeluarkan rekaan baharu yang akan diumumkan Mei nanti.

Kemudian, untuk pertama kalinya, saya akan buat koleksi pakaian lelaki. Saya sedang mencari model kita sendiri dan buat koleksi sendiri khas buat remaja di luar sana.


Boleh ceritakan mengenai butik anda?

Kini, saya ada butik sendiri di bawah nama Hatta Dolmat Couture di Seksyen 7, Shah Alam. Di bawah saya sendiri, ada dua jenama iaitu Hatta Dolmat Couture dan Hatta. Hatta Dolmat Couture lebih kepada perkahwinan dan selebriti, manakala Hatta lebih kepada jenis pakaian ready to wear, baju raya dan sebagainya.


Perancangan anda di masa depan?

Orang kata cita-cita tidak pernah padam. Malah, kita tak akan pernah puas. Bagi saya, kita tidak boleh terlalu gelojoh melakukan semua dalam satu masa. Biasanya, setiap tahun, saya akan meletakkan sasaran tertentu.
Previous Post Next Post