Yuna Rasai Kesedihan Keluarga Penumpang & Krew MH370


Penyanyi Yunalis Zarai berkongsi kesedihan dan bersimpati pada ahli keluarga dan krew pesawat penerbangan Malaysia Airlines (MAS), MH370 yang kini masih hilang.

“Bagi saya, ini merupakan perkara yang kita memang tak mahu berlaku. Begitupun, ini semua kuasa Allah. Saya pasti, pihak Malaysia Airlines dan kerajaan sedang melakukan segala yang terdaya untuk menjayakan operasi mencari dan menyelamat. Apa yang kita boleh buat sebagai rakyat Malaysia, sebagai sebuah keluarga besar adalah mendoakan yang terbaik untuk mangsa dan ahli keluarga serta sahabat taulan mereka,” ujar Yuna.

Tambah Yuna lagi, dia seperti juga semua rakyat Malaysia berkongsi kesedihan atas tragedi itu.

“Saya memang sedih dan bersimpati. Malaysia Airlines merupakan sebuah syarikat penerbangan yang kita semua sayang dan banggakan. Banyak kenangan saya bersama syarikat penerbangan utama negara itu, sedari kecil saya terbang dengan MAS dan sehingga hari ini, mereka banyak memberi sokongan kepada perkembangan karier saya di Amerika Syarikat, walaupun sebelum saya dilantik sebagai duta media sosial mereka lagi”, ulasnya.

Yuna sebelum ini ada berkongsi status di laman Twitter yang menyatakan bahawa dia sering melalui haluan sama yang digunakan saat MH370 hilang. Kata Yuna lagi, hatinya bertambah sayu apabila menyoroti satu persatu wajah krew kabin yang hilang kerana ada antara mereka yang dia kenali dan pernah beramah mesra saat menggunakan laluan tersebut.




“Saya percaya, kita semua kini sedang berdoa bersama-sama supaya diberikan petunjuk, juga jawapan dari yang Maha Esa. Kita semua memikirkan benda yang sama. Semoga Allah memberikan banyak kekuatan dan kesabaran kepada keluarga dan kenalan semua anak kapal. Tidak dapat saya bayangkan apa yang mereka rasakan di saat-saat getir ini. My prayers and thoughts is with them”, ujar Yuna lagi.

Pesawat yang dikemudi oleh Kapten Zaharie Ahmad Shah dan Pegawai Pertama Fariq Abdul Hamid itu telah dilaporkan hilang secara tiba-tiba dari radar saat dalam perjalanan ke Beijing dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Sehingga artikel ini ditulis, masih belum ada tanda-tanda kukuh untuk menjumpai semula pesawat yang membawa 239 anak kapal itu.

Yuna ditemui di majlis pelancaran Butik Modvier di Bangsar pada Rabu. Yuna melalui label barunya, 14NOV by Yuna Zarai akan mempamer dan menjual koleksi-koleksi label tersebut di pusat fesyen sehenti khas untuk kaum wanita itu.

Dalam perkembangan lain, Yuna kini berada di tanahair selama 2 minggu bagi meluangkan masa dengan keluarganya setelah melalui musim yang panjang di LA.

“Saya baru sahaja pulang dari kampung halaman untuk bertemu datuk dan nenek juga saudara-mara yang lain”.

Yuna bakal berlepas ke Eropah minggu hadapan untuk konsert jelajah pertamanya di rantau itu. Kota London akan menjadi singgahan pertama, diikuti Berlin dan kemudiannya Paris. Selesai konsert jelajah tersebut, pelantun ‘I Wanna Go’ itu akan kembali semula ke Kuala Lumpur bagi merasmikan butiknya November Culture di SS15, Subang Jaya.
Previous Post Next Post