Adibah Noor Tidak gelojoh terima tawaran


Nama besar yang dimilikinya tidak menghalang Adibah daripada berkolaborasi dengan penyanyi baharu.

SEJAK menceburkan diri dalam bidang nyanyian, pelakon dan pengacara Adibah Noor, 44, gemar menghasilkan album dengan menggunakan hasil titik peluhnya sendiri.

Tanpa diikat oleh mana-mana syarikat rakaman, pemilik nama, Adibah Noor Mohamed Omar ini lebih selesa untuk memilih secara peribadi komposer yang terlibat bagi menggubah lagu-lagu yang terkandung di dalam album-albumnya.

Ketika ditemui pada sidang akhbar pengumuman konsert An Evening of Glamour with Francesca Peters and Adibah Noor di Hugo's On 6, Hotel Best Western Premier Dua Sentral, Kuala Lumpur baru-baru ini, penyanyi yang popular dengan lagu Terlalu Istimewa itu masih menggunakan resipi yang sama untuk penghasilan album ketiganya.




Uniknya, album terbaharunya itu merupakan sebuah album duet dan bakal menampilkan beberapa penyanyi tempatan dari pelbagai generasi yang menjadi kegemarannya.

Dalam temu bual selanjutnya bersama Kosmo!, Adibah turut bercerita mengenai perasaan rindunya untuk menyanyi bersama band secara langsung (live band) serta pengurusan masa yang agak ketat sejak bergelar penyampai radio di Suria FM.

Kosmo!: Kenapakah anda merancang untuk menerbitkan sebuah album yang menampilkan lagu-lagu duet?

ADIBAH: Pada pendapat saya, album duet seperti ini tidak pernah lagi dihasilkan di Malaysia. Selalunya, album-album bertema seperti ini kerap dihasilkan oleh penyanyi antarabangsa.

Jadi, tidak salah rasanya menampilkan beberapa orang penyanyi kegemaran saya dalam album ketiga saya itu nanti.

Siapa antara artis yang terlibat dalam album itu nanti?

Setakat ini saya sudah menghasilkan tiga buah single bersama Dina Nadzir, Sam Innuendo dan Nizam. Dalam pada itu, saya merancang untuk menjemput Atilia dan Francesca Peters untuk merakam lagu bersama.

Kenapakah anda memilih artis baharu seperti Nizam untuk ditampilkan dalam album itu nanti?

Tidak salah rasanya saya membuka peluang kepada penyanyi-penyanyi ini untuk maju dalam bidang nyanyian. Mereka sudah lama menyanyi, cuma tidak berpeluang untuk dikenali. Selain Nizam, saya juga cuba untuk berkerjasama dengan penyanyi yang lahir daripada rancangan Akademi Fantasia iaitu Amir Jahari.


ADIBAH kini dalam proses menyiapkan album terbaharunya.

Boleh ceritakan sedikit mengenai penglibatan anda untuk konsert bersama restoran Hugo's On 6?

Saya dipanggil untuk menjayakan sebuah persembahan secara santai oleh pihak hotel. Saya menerima pelawaan ini kerana tertarik dengan konsep live band yang akan mengiringi persembahan saya itu nanti.

Mengapakah anda lebih menggemari persembahan yang diiringi oleh live band berbanding minus one?

Sejujurnya, menyanyi di atas pentas secara berseorangan sangat membosankan (sambil ketawa). Selain berkomunikasi dengan penonton yang hadir, saya juga suka berinteraksi dengan live band. Berjayanya sesuatu persembahan itu turut bergantung pada keserasian penyanyi dan live band tersebut.

Bagaimana pula dengan pemilihan lagu-lagu dalam konsert itu nanti?

Selain membawa lagu-lagu yang menjadi kegemaran peminat, saya turut akan membawakan seleksi lagu-lagu yang ingin saya nyanyikan secara langsung.

Bagaimana peminat mahu mendapatkan tiket bagi persembahan itu nanti?

Saya bakal membuat persembahan di Hugo's On 6 pada 7 Jun depan. Peminat-peminat boleh mendapatkan tiket yang berharga RM280++ dengan menghubungi talian 03-2272 8888 atau e-mel kepada fb2sentral@bestwestern.com.my. Paling istimewa, harga ini termasuk enam set menu untuk makan malam di restoran yang sama.

Sebagai seorang penyanyi yang juga bergelar penyampai radio, bagaimanakah anda membahagikan masa untuk menguruskan jadual kerjaya anda?

Saya akui, setelah bergelar penyampai radio, jadual saya sedikit padat. Namun, ini merupakan pilihan saya. Jadi, saya perlu bijak membahagikan masa antara dua bidang ini dan tidak terlalu gelojoh menerima tawaran untuk menyanyi mahupun mengacara.

Adakah anda selesa dengan kerjaya anda sebagai seorang penyampai radio?

Alhamdulillah, setelah setahun bergelar penyampai radio, kerjaya itu semakin dekat di hati saya. Selain dapat berinteraksi secara langsung bersama pendengar, saya turut menggunakan platform tersebut sebagai medium untuk menyebarkan info yang berguna kepada khalayak.
Previous Post Next Post