Misha Omar Bercuti di New York selepas kahwin


PASANGAN merpati dua sejoli ini sudah bulat kata dan hati untuk hidup bersama sebagai suami isteri.

MELIHAT senyuman yang terukir di wajah pasangan ini, ia menggambarkan segala-galanya.

Kemesraan Misha Omar, 32, dan tunangnya, Firos Ezzwan Rossly, 32, pada sidang akhbar pengumuman tarikh perkahwinan mereka di restoran Holly Smoke Shah Alam, Selangor, Sabtu lepas jelas membuktikan bahawa pasangan ini tidak sabar lagi untuk melangkah setapak ke hadapan bergelar pasangan suami isteri.

Pemilik nama sebenar Samiha @ Aisah Omar itu mengakui, pelbagai rintangan yang dihadapi ketika ingin mendirikan rumah tangga.

Misha bagaimanapun reda dengan setiap apa yang berlaku kepada dirinya. Baginya, hidup perlu diteruskan dan memori baharu perlu dicipta demi menggapai masa hadapan yang diimpikan.

Pemergian bapa tersayang pada Disember tahun lalu merupakan antara dugaan paling besar yang dihadapi oleh Misha.

Di sebalik senyuman, tersembunyi rasa sedih disebabkan bapanya tidak sempat untuk melihat persandingan mereka.

Hal tersebut sekali gus menyebabkan Misha terpaksa menangguhkan perkahwinannya. Pada majlis sidang akhbar yang serba ringkas itu, Misha turut berkongsi segala rintangan yang dihadapinya untuk membina sebuah mahligai rumah tangga.

"Sebelum ini pelbagai rintangan kami hadapi. Ada sahaja masalah yang mendatang, antaranya termasuk kesihatan saya, jadual kerja yang padat dan bakal suami saya yang begitu sukar untuk mendapat cuti tahunan.

"Namun, setelah penangguhan yang agak lama, kami bertekad untuk melangsungkan perkahwinan pada 2 Mei depan.

"Walaupun tempoh persiapan perkahwinan kami singkat iaitu hanya tiga bulan tapi kali ini Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar," ujarya.

Tambah Misha, tarikh tersebut dipilih memandangkan ibunya ingin dia dan bakal suami untuk melangsungkan pernikahan pada bulan Rejab mengikut kalendar Islam.

"Tarikh tersebut dipilih atas permintaan ibu. Setelah berbincang dengan ibu yang baharu sahaja tamat edah, dia bersetuju untuk mengadakan majlis pernikahan secepat mungkin kerana dia akan menunaikan umrah pada bulan Julai nanti," ujarnya.




Majlis perkahwinan

Bercerita mengenai majlis perkahwinannya yang akan diadakan di Hotel Renaissance, Kota Bharu, Kelantan, ujar Misha, ia bakal berlangsung secara sederhana dengan kehadiran kira-kira 500 orang tetamu yang terdiri daripada keluarga, saudara-mara terdekat dan teman rapat sahaja.

"Kami mengadakan majlis akad nikah dan resepsi di Hotel Renaissance, Kota Bharu disebabkan permintaan ibu. Dia tidak mahu jauh dengan arwah ayah. Jadi, kami terpaksa bersetuju dengan permintaannya.

"Segala majlis akan diadakan dalam masa sehari sahaja. Kami bercadang untuk mengadakan majlis akad nikah pada sebelah pagi (pukul 9) dan majlis resepsi pada malam hari (pukul 8).

"Majlis resepsi juga diadakan di sana sahaja disebabkan kami masih berkabung dengan pemergian ayah," katanya yang pernah popular menerusi lagu Bunga-Bunga Cinta.

Gelang emas

Bercerita mengenai konsep yang akan diadakan pada majlis akad nikah dan resepsinya, Misha berkata, keseluruhan konsep majlis tersebut akan disediakan oleh pereka fesyen terkenal, Syaiful Baharim.

Namun, Misha tidak menetapkan sebarang konsep untuk majlis perkahwinannya itu.

Pada majlis resepsi dan acara memotong kek perkahwinan pula, Michael Ong merupakan orang yang bertanggungjawab mencipta busana tersebut.

"Saya memilih Syaiful Baharim dan Michael Ong disebabkan saya telah biasa bekerjasama dengan mereka. Ia juga merupakan salah suatu penghargaan kepada mereka.

"Solekan pula dipertanggung- jawabkan kepada Chott dan Cicie yang menggunakan produk Shiseido. Kami juga akan menggunakan khidmat fotografi perkahwinan wearethejoezakaria," tuturnya.

Misha berkata, kad perkahwinan telah diedarkan bermula 4 April lalu dan beberapa rakan baiknya yang terdiri daripada penyanyi juga telah mengesahkan kedatangan mereka pada malam penuh bermakna tersebut.

"Ada beberapa artis yang menjadi kawan baik saya sebelum ini telah mengesahkan kedatangan mereka. Antaranya termasuk Adibah Noor, Salamiah Hassan, Fara Fauzana, Dina Nazir dan Jaclyn Victor.

"Menariknya, pada malam tersebut juga Jaclyn Victor, Fara Fauzana dan Dina Nazir akan bertindak sebagai pergiring dan pemegang dulang pada majlis akad nikah yang akan diadakan nanti," ujarnya.

Bagi pihak Firos pula, sebuah majlis resepsi akan diadakan pada 15 Mei di Hotel Concorde, Shah Alam, Selangor. Ia dilakukan untuk ahli keluarga terdekat bakal suaminya sahaja.

Mengulas mengenai wang hantaran mas kahwin, Misha berkata, seperti sebelum ini dia tidak mahu menerima wang hantaran, namun pihak lelaki telah berbesar hati untuk menghadiahkannya sepasang gelang emas.

"Gelang emas tersebut merupakan hadiah daripada pihak pengantin lelaki dan mengenai dulang hantaran pula, hanya lima hantaran sahaja daripada pihak saya dan dibalas lima juga daripada pihak pengantin lelaki," ujarnya.


SELEPAS dua kali tertangguh, laluan untuk Misha dan Firos untuk menuju ke bahtera perkahwinan kini sudah tersedia.

Pascaperkahwinan

Bercakap mengenai pasca perkahwinan Misha berkata, dia dan suami sudah mempunyai perancangan rapi. Namun, mereka masih belum pasti apabila ditebak soalan mengenai percutian selepas perkahwinan.

"Selepas berkahwin, saya akan berpindah ke rumah baharu yang terletak di Cheras.

"Namun, saya perlu menunggu anak angkat saya, Mohd. Adam Emir, 7, untuk menamatkan pengajiannya. Insya-Allah, kalau tidak ada aral-melintang, kami akan berpindah pada penghujung tahun ini," katanya.

Misha menyimpulkan senyumannya apabila ditanya mengenai percutian pascaperkahwinan mereka.

Namun bagi Firos, dia mempunyai perancangan tersendiri untuk bakal isterinya itu.

"Sebelum ini, Misha pernah menyatakan hasratnya ingin bercuti ke negara Eropah. Bagi memenuhi keinginannya, insya-Allah saya akan membawa- nya ke New York, Amerika Syarikat pada musim luruh.

"Saya juga bercadang untuk membawa dia (Misha) ke sebuah restoran makanan laut di Kanada dan makan hidangan ketam istimewa di sana," ujarnya.

Ketika ditanya mengenai persediaannya untuk menjadi suami kepada penyanyi kesaya- ngan Malaysia itu, juruterbang Penerbangan Malaysia (MAS) itu memberitahu, dia bersedia sepenuhnya untuk menerima apa sahaja dugaan yang akan melanda.

"Sepanjang bergelar tunang Misha, saya telah pun belajar memahami situasi dan persekitaran kerjayanya. Saya rasa ia tidak akan menjadi masalah kepada saya.

"Di samping itu, jika dilihat sekarang ini, Misha juga sudah pandai menjaga dirinya sendiri," ujarnya berseloroh.
Previous Post Next Post