24 Februari lalu merupakan tarikh keramat buat pelakon, Liza Abdullah yang secara rasminya telah memfailkan penceraian kepada bekas suaminya, Zolkifli Abdul Rahman. Walau apa pun yang berlaku, bagi pelakon versatil yang bakal menjengah usia 50 tahun ini, kehidupan harus diteruskan.
“Kerja-kerja masih berjalan seperti biasa. Alhamdulillah, banyak stesen-stesen televisyen menawarkan ‘job’. Mei nanti, saya akan terlibat menjayakan teater ‘Di Bawah Lindungan Kaabah’ di Istana Budaya,” cerita Liza ketika ditanya mengenai perkembangan terbarunya.
Baginya, walaupun tidak lagi bergelar isteri kepada bekas suaminya, dia masih lagi menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu kepada empat orang anak-anak yang kini meningkat dewasa.
Ditanya mengenai perasaannya selepas bercerai, dia akui ini merupakan jalan yang tidak pernah disangka akan berlaku dalam kehidupan rumah tangganya. Menurut Liza, selepas hidup berumah tangga bersama bekas suami selama lebih 20 tahun, tentunya terkesan apabila sekarang tidak lagi bergelar isteri kepada Zolkifli.
Walaubagaimanapun, kesedihan itu kadangkala dapat disembunyikan dengan kesibukan kerja.
“Seperti yang semua sedia maklum, saya kini menetap di Kuala Lumpur, tetapi jika punya kelapangan saya akan pulang ke Johor untuk bertemu dengan anak-anak. Anak sulung dan kedua saya kini sedang belajar di institut pengajian tinggi, manakala dua lagi anak saya yang masih kecil, tinggal bersama bekas suami.
“Kedua-dua anak saya yang masih kecil, Zulshahmi Naqib dan Zulshahmi Afiq kini masing-masing berusia 12 dan 10 tahun. Kedua-dua mereka masih belum mengetahui mengenai perpisahan saya dan suami walaupun kini sudah lebih sebulan,” kata Liza. Dia dan suami takut sekiranya anak-anak mereka tidak mampu menerima perpisahan ini, sekaligus akan memberi kesan kepada pelajaran.
Kedua-dua anaknya itu kini dijaga oleh bapa mereka. Bagi Liza, bekas suaminya merupakan seorang bapa yang bertanggungjawab dan dapat menjaga kedua-dua putera mereka dengan baik.
“Saya dan bekas suami sudah membincangkan mengenai hak penjagaan anak dan saya tahu, dia dapat menjaga anak-anak dengan baik. Kami tidak mahu berebut atau apa kerana bagi kami, anak-anak berhak memilih arah tuju kehidupan mereka,” tambahnya lagi.
Liza turut memohon agar para peminatnya terus menyokong kerjayanya. Dia juga tidak lupa memohon agar orang awam tidak melemparkan persepsi negatif walaupun dirinya kini bergelar janda.
“Tidak kira apa pun status kita, yang penting adalah cara membawa diri sendiri. Itu lebih penting,” ujar Liza menutup sesi perbualan.
ARTISMELETOP: Semoga Kak Liza Abdullah lebih tabah sekarang ni