Dari Menyanyi Sazrin Aizul Kini Jadi Model Runway Profesional



Pernah dikenali sebagai seorang penyanyi dan juga pernah melahirkan single bertajuk Jangan Biarkan, Sazrin Aizul,31 kini meneruskan haluan ke bidang peragaan yang telah berjaya memperkenalkan namanya.

Ketinggian 186 sentimeter dan badan sasa yang dimilikinya memberi kelebihan kepada bapa seorang cahayamata itu untuk terus menyinar dalam bidang peragaan, meskipun nyanyian sering menjadi idamannya.

Manakan tidak, setiap kali munculnya Malaysian International Fashion Week dari 2009 sehingga 2012 dan Islamic Fashion Festival, susuk tubuh Sazrin Aizul pasti terpacul di atas lantai runway bagi menggayakan persalinan segak bergaya rekaan pereka fesyen tempatan.

Dia juga sering diundang untuk menjayakan pertunjukan fesyen jenama antarabangsa antaranya, Gucci, Quicksilver, Canali, Vertu, Camel dan beberapa pertunjukan fesyen lain yang tidak kurang hebatnya.




Terbaru, pengalaman serta pengetahuan Sazrin Aizul sebagai peragawan profesional telah diguna pakai bagi menunjuk ajar 15 peserta peringkat akhir pencarian wajah/duta HIMbyHatta yang telah diadakan di butik pereka fesyen terkenal Hatta Dolmat baru-baru ini.

“Saya suka bidang peragaan kerana bagi saya tak semua orang mampu melakukannya kerana ianya memerlukan keyakinan yang tinggi dan dalam masa yang sama dapat mengenali ramai orang dalam perlbagai bidang.

“Saya sudah mula sebagai model sejak 2005 tapi kerana masih tidak memahami industri berkenaan jadi saya kerap ditipu dan membuatkan saya putus asa.

“Kerana meminati bidang nyanyian dan kebetulan kawan saya ialah Imran Ajmain, jadi dia menyokong saya dan menghasilkan sebuah lagu buat saya.

“Tapi mungkin kerana promosi untuk lagu itu tidak kuat dan lagu saya tak banyak dimainkan di corong radio, jadi saya kembali semula ke bidang peragaan sehinggalah sekarang,” katanya yang pernah dipilih sebagai naib juara Pencarian Lelaki Maskulin pada 2011.

Sazrin Aizul berkata pengalamannya yang panjang dalam dunia peragaan membuka banyak peluang buatnya termasuk menunjuk ajar anak-anak muda lain seperti 15 finalis HIMbyHatta yang berminat untuk bergelar peragawan.

Jelasnya, meskipun merasa agak kekok apabila perlu menunjuk ajar mereka cara berjalan yang betul di lantai runway, namun perasaan itu dapat dibendung asalkan tugasnya untuk berkongsi seberapa banyak pengalaman dapat direalisasikan.

“Memang saya tak pernah mengajar orang lain untuk catwalk, tetapi selepas diberi peluang oleh Hatta Dolmat untuk mengajar mereka, saya sahut cabaran itu kerana saya sangat berminat untuk mencuba sesuatu yang baru.

“Alhamdulillah, rasanya saya berjaya memberikan 15 perserta HIMbyHatta untuk mereka memahami apa itu ‘runway model’ dan saya dapat lihat perkembangan positif dalam diri setiap mereka,” katanya bercakap tentang pengalamannya yang bertindak selaku tenaga pengajar HIMbyHatta.

Selain sibuk dengan jadual dunia peragaan, Sazrin Aizul juga kini semakin aktif berlakon untuk beberapa drama tenpatan antaranya Epilog Cinta Khirana (TV3), Aku (TV3), Istikharah Cinta (RTM), Love U Mr Arrogant (TV3), Gadis Saza (RTM) dan Bedah vs Joyah (TV9).

Dia kini ingin lebih dikenali sebagai seorang pelakon dan juga model bebas yang boleh dihubungi menerusi 012-2721640012-2721640.
Previous Post Next Post