Emma Maembong Sudah Bawa Zizan Razak Jumpa Ayah



Sebelum ini, baik Emma Maembong mahupun Zizan Razak, kedua-duanya agak keberatan dan berahsia mengenai hubungan cinta mereka. Namun, pasangan ini kini dilihat semakin terbuka dalam berbicara tentang cinta mereka termasuklah berkongsi gambar mereka di Instagram.

“Bukan nak sorok tapi ketika itu saya dan Zizan baru saja kenal. Alhamdulillah sekarang Emma dah serasi dengan dia, malah keluarga pun terbuka mengenai hal ini, jadi sebab itu sekarang saya lebih terbuka untuk berkongsi dengan semua,” tutur Emma sambil berkongsi pernah membawa Zizan bertemu dengan ayahnya.

“Ayah tak larang Emma berkawan dengan Zizan. Malah, Zizan merupakan lelaki pertama yang Emma bawa balik rumah untuk diperkenalkan kepada ayah. Sebenarnya ayah tidak kenal Zizan dan pernah sekali dia pasang ‘spy’ daripada kalangan kawan-kawannya untuk mengetahui tentang Zizan.




Kemudian dia baru tahu yang anak dia berkawan dengan artis juga. Apapun, ketika pertemuan itu, ayah dan Zizan nampak selesa, mungkin disebabkan masing-masing orang Terengganu,” ujar Emma ketika ditemui pada majlis perlantikannya sebagai duta produk makanan tambahan, ‘Maixara’ di Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ketika ditemui, pelakon drama ‘Projek Memikat Suami’ ini turut diajukan persoalan mengenai perancangan mengenai hubungannya dengan Zizan memandangkan kekasihnya itu pernah mengeluarkan kenyataan untuk berkahwin pada usia 30 tahun. Menurut Emma, mereka belum lagi berbincang ke arah fasa seterusnya kerana mengakui masih perlukan masa untuk lebih mengenali antara satu sama lain.

“Ramai cakap yang Emma dan Zizan akan kahwin tahun ini ataupun tahun depan. Padahal tak ada pun. Mungkin mereka beranggapan begitu apabila Zizan cakap dia nak kahwin apabila berumur 30 tahun. Masa dia cakap begitu, Emma tak ada apa-apa hubungan lagi dengan Zizan, jadi bila kami bersama, sebab itu orang ingat kami nak kahwin.

Apapun, kami berdua memang tak pernah duduk berbincang mengenai kahwin. Bukan tak yakin dengan percintaan kami tapi dalam mana-mana perhubungan, semua orang perlukan masa. Emma tak letakkan sasaran, namun kalau dah jodoh, ayah pun cakap okay serta masanya pun sudah tiba, Emma akan beritahu semua,” katanya mengakhiri perbualan.
Previous Post Next Post