Judika Enggan Tahu Jantina Anak



Penyanyi Indonesia, Judika yang melangsungkan perkahwinan pada Ogos tahun lalu melahirkan rasa gembira kerana kehidupannya kini lebih terisi dengan kehadiran isterinya, Duma Rosis Silalahi di sisi.

“Kehidupan kini lebih teratur dengan adanya isteri di sisi yang mana pakaian, makanan dan sebagainya disediakan olehnya. Malah, isteri saya kini sedang hamil tiga bulan dan dia mengalami alahn yang biasa dialami oleh wanita-wanita lain ketika di awal kehamilan.

Isteri saya gemar melihat gambar-gambar di Instagram dan pernah satu ketika dia mengidam makanan yang dimuat naik di laman sosial tersebut. Dia meminta makanan yang pelik-pelik. Mungkin kerana pembawakan anak,” ujar Judika yang enggan mengetahui jantina anaknya kerana inginkan kejutan.




Judika turut berkongsi rezekinya selepas berkahwin lebih banyak sehingga menyebabkan isterinya terasa kerana dia terlalu sibuk dengan kerja.

“Alhamdulillah apabila sudah berkahwin rezeki saya luar biasa sehinggakan pernah isteri merajuk kerana hampir dua minggu saya tidak pulang ke rumah. Namun, dia memahami kerjaya saya sebagai seorang penyanyi," ujar Judika yang bakal melancarkan album pada Jun nanti di Jakarta.

Judika bakal mengadakan konsert di Kuala Lumpur Live Centre pada malam ini (Sabtu) khas buat peminat-peminatnya di Malaysia. Ketika ditemubual, Judika sempat melahirkan rasa terujanya kerana ini kali pertama dia berpeluang membuat konsert di Malaysia dengan berkongsi pentas bersama idolanya, Amy Search.

“Saya begitu teruja dan berdebar bagi menantikan konsert kerana pertama kalinya saya bakal membuat konsert di Malaysia. Saya bakal menyampaikan 14 buah lagu yang merupakan gabungan lagu lama dan baru,” ujar Judika.
Previous Post Next Post