Hafiz Suip dan Adira Tiada Lagi Getaran Cinta


Hafiz Suip dan Adira

Mereka pernah bergelar pasangan kekasih sekitar 2011. Begitupun, selepas setahun melayari bahtera cinta, tiba-tiba ikatan itu terputus di pertengahan jalan. Lebih menghangatkan suasana apabila kisah putus cinta antara bintang realiti, Hafiz Suip dan Adira, menjadi tajuk utama media kerana ia dikatakan membabitkan orang ketiga.

Bagaimanapun, itu semua cerita dulu. Kini, masing-masing sudah mempunyai teman pengganti.


Walaupun perpisahan mereka dikatakan penuh dengan drama, sehingga kini kedua-duanya masih berkawan baik.

Tidak semua orang mampu bersikap profesional seperti dua bintang muda ini, yang bersedia bekerjasama apabila keadaan menentukan mereka berbuat demikian.

Paling baharu, dua penyanyi bervokal mantap ini akan menjayakan persembahan Minggu Setiausaha bersama-sama. Acara yang dinamakan A Golden Moment With Hafiz ini anjuran COOP Matrade dengan kerjasama AMI Global Sdn Bhd.

Ia bakal berlangsung pada 22 April ini, bermula jam 12 tengah hari, di Dewan Megah Matrade, Pusat Pameran dan Persidangan, Kuala Lumpur.




Kekasih tidak cemburu

Diusik pertanyaan, apakah dengan kekerapan bertemu bagi menjayakan acara berkenaan boleh membangkitkan kenangan lama yang pernah mereka lalui suatu ketika dulu, Hafiz dengan pantas menafikan perkara itu.

“Kami sama-sama profesional dan setakat ini, tidak berlaku perkara sebegitu. Segala kenangan itu sudah saya lemparkan jauh-jauh.

“Lagipun, apabila kami menyanyi bersama dan perlu bersentuhan, getaran itu sudah lama hilang,” terang jejaka kelahiran Kuching, Sarawak ini sambil ketawa.

Tambahan pula, dirinya kini sudah mempunyai kekasih hati. Lalu, tidakkah buah hatinya cemburu dengan keakraban yang ditunjukkan Hafiz?

Maklum sajalah, hati wanita, sedikit sebanyak tentu terguris juga melihat kemesraan buah hati bersama kekasih lama.

Nyata, pemuda bersuara lunak ini mempunyai jawapannya sendiri berhubung perkara itu.

“Setakat ini, beliau tidak pernah berasa cemburu dengan Adira. Beliau pernah juga bersembang dengan Adira sebelum ini dan memahami apa yang saya lakukan demi tuntutan kerja,” ujar Hafiz, 24, ketika ditemui sewaktu menjayakan sesi fotografi di Cyberview Resort & Spa, Cyberjaya, baru-baru ini.
Previous Post Next Post