Judika gegar KL Live Center



KEHEBATAN dan kelantangan vokal penyanyi Judika memang tidak dapat disangkal lagi. Pertama kali mengadakan konsert sulungnya di Malaysia bertemu peminatnya di sini, hasilnya nyata tidak mengecewakan.

Gabungan muzik dan kekuatan vokalnya mampu membuai perasaan lebih kurang tiga ribu penonton yang membanjiri KL Live Center, Sabtu lalu.

Memilih tema ‘Mencari Cinta’, Judika membuka tirai persembahan tepat jam 9.00 malam dengan lagu ‘Bukan Rayuan Gombal’ dan ‘Malaikat’ serta diiringi dengan ‘Separuh Nafas’, ‘Immortal Love Song’ dan ‘Bukan Dia Tapi Aku’.

Suasana konsert semakin hangat apabila peminat setia turut tidak ketinggalan menyanyi bersama-sama penyanyi kesayangan mereka.

Selain berjaya menyampaikan lagu dengan baik, Judika bijak menarik perhatian peminat dengan usikan gurau senda terhadap penonton yang mampu memberi impak yang luar biasa sepanjang konsert itu berlangsung.




Selepas menyampaikan enam buah lagu, Judika memberi ruang kepada penyanyi otai rock Malaysia iaitu Amy Search sebagai artis jemputan menyampaikan sebuah lagu solo yang rancak Kerja Gila.

Ternyata kehadiran Amy Search turut menyumbang kehangatan konsert apabila tenaga persembahan yang dipamerkan penyanyi itu cukup menghiburkan.

Konsert semakin meriah apabila buat pertama kalinya, peminat disajikan dengan persembahan duet antara Judika dan Amy Search dengan dua buah lagu iaitu Tiada Lagi dan Isabella yang juga mampu mengembalikan memori penonton yang hadir.

Biarpun kali pertama berduet, namun persembahan mereka cukup serasi dengan keistimewaan vokal masing-masing.

Konsert diteruskan dengan lagu Apakah Ini Cinta dan Setengah Mati Merindu yang merupakan lagu hits yang membawa popularitinya melonjak naik di negara ini.

Penonton turut dihiburkan dengan lagu cover Some One Like You yang di popularkan oleh penyanyi Adele dan disusuli Mama Papa Larang yang menceritakan kisah percintaannya sebelum ini.

Selepas menyampaikan Cukup Siti Nurbaya, persembahan konsert diakhiri dengan dendangan lagu popularnya, Aku Yang Tersakiti.

Secara keseluruhannya, persembahan konsert ini begitu menghiburkan dan amat berbaloi buat penonton yang hadir pada malam itu.

Bakal bergelar bapa

Menyingkap kisah peribadinya, Judika yang telah berkahwin pada 31 Ogos tahun lalu kini akui sedang meniti kebahagiaan bersama isteri tercinta, Duma Riris yang sedang hamil cahaya mata pertama mereka yang berusia tiga bulan.

“Sekarang saya sangat bahagia dan hidup saya kini lebih teratur kerana adanya isteri yang menguruskan keperluan saya.

“Saya sangat bersyukur dengan apa yang saya miliki hari ini. Walaupun hubungan cinta saya dan isteri sebelum ini tidak mendapat restu orang tuanya, kami akhirnya dapat bersama dan lebih penting ikatan ini juga akhirnya mendapat restu,” katanya.

Bercerita mengenai proses kehamilan isterinya, Judika tidak kisah melayani kerenah isterinya yang kini mengalami alahan.

“Sama seperti wanita lain, isteri saya turut mengalami alahan. Sikapnya juga berubah dan turut mengidam makanan yang pelik.

“Sebagai suami, saya cuba buat yang terbaik untuknya,” ujarnya.

PFOFIL

Nama Sebenar: Judika Nalon Abadi Sihotang
Taarikh lahir: 31 Ogos 1978
Tempat Lahir: Sidikalang, Dairi, Sumatera Utara
Isteri: Duma Riris Silalahi (Berkahwin pada 31 Ogos 2013)
Mula dikenali sejak menyertai Indonesian Idol musim kedua (2005)
Previous Post Next Post