Pesona Cinta, pengalaman manis buat Dayang


Dayang Nurfaizah

SEBAGAI penyanyi senior, Dayang tidak memerlukan masa yang lama untuk memikat peminatnya.

TEPAT pukul 9 malam, penantian peminat setianya terubat apabila melihat kemunculan penyanyi kesayangan mereka, Dayang Nurfaizah pada malam yang penuh bermakna itu.

Menyarung busana merah, Dayang tampil dengan penuh anggun pada malam itu dengan tujuan untuk menghiburkan peminat tegarnya.

Berjaya mencuri tumpuan dengan sifat rendah dirinya, lagu Seandainya Masih Ada Cinta menjadi pembuka tirai kepada Konsert Pesona Cinta Dayang Nurfaizah dan nama besar dari tanah seberang, Marcell di Panggung Sari, Istana Budaya baru-baru ini.




Mengimbau kembali lagu-lagu malar segar yang pernah mengangkat namanya dalam dunia seni nyanyian, Dayang tidak menghampakan penonton apabila berjaya menyampaikan lagu tersebut dengan baik.

Kelantangan vokal Dayang pada malam tersebut sememangnya tiada tandingan apabila seluruh penonton di Panggung Sari seakan-akan terpukau dek pesona gadis kelahiran Kuching, Sarawak itu.

Berjaya menambat hati penonton pada slot pertama konsert tersebut dengan lagu medley nyanyian artis terkenal seperti Raja Ema. Satu jam yang diperuntukkan seperti tidak terasa ia berlalu.

Satu jam pertama berlalu pantas, namun penonton masih belum puas berhibur dengan Dayang.

Pada saat khalayak masih ghairah untuk berhibur, di atas pentas, seorang penyanyi lelaki yang ditunggu-tunggu kehadirannya. Dia, Marcell, penyanyi kelahiran Indonesia yang menjadi teman sepentas Dayang pada malam itu telah membuat isi dewan gemuruh.

Bakatnya sebagai seorang penghibur ternyata tidak dapat dipertikaikan lagi apabila bijak mencuri hati penonton dengan lawak jenakanya, membuka tirai lagu pertamanya iaitu Peri Cintaku.

Malam tersebut sememangnya memberi pengalaman yang tidak dapat dilupakan buat penonton yang hadir apabila runut lagu yang pernah melonjakkan nama Marcell iaitu Hanya Memuji dimainkan. Lagu tersebut disampaikan dengan baik sekali oleh Marcell dan Dayang.

Ternyata, gandingan mereka yang telah lama tidak berkongsi pentas masih berbisa. Mendendangkan lagu hit tersebut bersama, sesekali Dayang dan Marcell kelihatan begitu serasi dan romantik.

Sementara itu, Dayang yang ditemui usai konsert tersebut menyatakan, dia merasa puas hati dengan konsert tersebut. Baginya, dia telah menyerahkan seluruh jiwanya menyampaikan keseluruhan 21 buah lagu.

“Saya bersyukur konsert ini dapat berjalan dengan lancar. Persiapan rapi sebelum ini ternyata bukan sesuatu yang sia-sia dan strategi saya untuk merehatkan diri seminggu sebelum konsert boleh dikatakan berjaya.

“Sebelum konsert berlangsung, timbul perasaan gusar dalam hati saya kerana bimbang vokal saya tidak sampai ke tahap yang dikehendaki, terutamanya apabila menyampaikan lagu Miley Cyrus tetapi Alhamdulillah segalanya sampai ke tahap seperti yang saya jangkakan sebelum ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Marcell yang turut melahirkan keterujaan dek sambutan hangat yang diterima daripada penonton juga menghargai semangat mereka pada malam tersebut.

“Saya tidak sangka menerima sambutan yang begitu hangat sekali walaupun saya sudah bertapak dalam industri Malaysia sejak tahun 2002.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada peminat, terutamanya di Malaysia kerana masih menerima saya dalam industri muzik di Malaysia,” ujarnya.
Previous Post Next Post