LUMRAH sebagai selebriti, pasti akan punya peminat dan secara tidak langsung juga akan mendapat beberapa 'haters' atau pihak-pihak yang tidak menyukai mereka.
Jika sebelum ini, selebriti hanya akan menerima maklum balas-sama ada daripada peminat atau haters mereka menerusi surat, tapi kecanggihan teknologi pada masa kini membolehkan peminat atau haters berbual terus dengan seseorang selebriti itu menerusi laman sosial.
Biarpun ada baiknya teknologi pada masa kini, namun ada pihak seolah-olah menyalah guna dan sengaja menggunakan laman sosial untuk menarik perhatian ramai.
Terbaru, seorang pengikut laman sosial Instagram Scha Al Yahya bertindak biadab meninggalkan komen yang agak keterlaluan buat bekas juara Dewi Remaja itu.
Dek kerana tindakan biadab itu, suami Scha yang juga pengacara dan pelakon, Awal Ashaari berang dan membalas balik dengan memuat naik gambar wanita tersebut di Instagram.
Menafikan dirinya seorang yang cepat melenting, Awal berkata, tindakannya memuat naik gambar wanita tersebut hanya kerana mahu 'mengajar' orang yang biadab.
"Kalau ikutkan Scha, dia memang mahu biarkan saja dan dia tidak beri apa-apa reaksi daripada komen yang ditinggalkan wanita itu.
"Tapi bagi saya orang biadab, perlu diajar. Sebagai seorang manusia, yang hidup dalam masyarakat, kita kena belajar untuk hormati orang lain," ujar Awal.
Ditebak mengenai reaksi wanita itu, sebaik Awal memuat naik gambarnya di Instagram, Awal berkata, wanita itu hanya meninggalkan komen dengan ucapan terima kasih.
Bahkan jika sesetengah selebriti lebih senang mengambil jalan menyekat haters mereka di Instagram, lain pula dengan pengacara Melodi ini.
"Saya tak mahu sekat dia, kalau saya sekat dia, nanti dia tak boleh baca pula kalau ada komen peminat dia. Dia sukakan publisiti, jadi saya beri publisiti yang sepatutnya kepada dia," katanya.
Sibuk buat persiapan
Sementara itu, berkongsi perkembangan terbarunya, Awal berkata, dia kini hanya memberi tumpuan terhadap bidang pengacaraan dan terpaksa menolak beberapa tawaran lakonan.
"Saya kini sibuk buat persiapan kelahiran anak saya akhir Julai ini dan masih dalam proses menyiapkan serta menghias bilik.
"Jadi untuk sementara waktu, saya terpaksa menolak tawaran berlakon dan hanya beri perhatian kepada tugas pengacaraan sahaja. Dalam masa yang sama juga saya mahu memberi tumpuan kepada perniagaan saya yang masih lagi dalam perancangan," ujarnya.