Bahasa Rindu Adibah Noor



HUBUNGAN antara Adibah dan Nizam sudah mula terjalin sejak penyanyi itu berusia 16 tahun.

TERKENAL sebagai penyanyi yang selalu menyelitkan pesanan dan mengikat makna yang besar dalam kebanyakan lagunya, Adibah Noor kini sedang bahagia dengan penerimaan yang memberangsangkan terhadap single terkininya, Bahasa Rindu.

Ia merupakan single duet ketiga buat penyanyi hebat ini yang sebelum ini pernah muncul dengan dua lagu duet bersama Sam Innuendo (Ke Sana Denganmu) dan Dina Nadzir (Malaysia Kau Ku Cinta).

Menariknya, untuk Bahasa Rindu, Adibah Noor telah memilih sahabat lamanya, penyanyi, Nizam Din yang sebelum ini dikenali ramai ketika muncul pemenang tempat kedua dalam pertandingan Sinaran Pasport Kegemilangan pada tahun 1996 sebagai rakan duetnya.

Dalam satu majlis pelancaran yang berlangsung di Bangsar Shopping Centre, Kuala Lumpur baru-baru ini, Adibah memberitahu Bahasa Rindu merupakan sebuah lagu yang menceritakan tentang persahabatan.

"Sebelum ini sudah terlalu banyak lagu cinta yang dihasilkan, akhirnya saya mengambil pendekatan dengan menghasilkan sebuah lagu berkenaan dengan sebuah ikatan persahabatan sebagai buah tangan terbaharu kepada peminat saya.

"Lagipun dengan usia saya yang sudah mencecah 44 tahun sekarang ini, rasanya lagu-lagu sebegini lebih sesuai dinyanyikan dan saya sangat berpuas hati dengan lagu yang mendapat sentuhan Azlan Abu Hassan dan lirik yang dihasilkan oleh Opie Sofea ini," jelasnya.

Mengenai pemilihan Nizam sebagai rakan duetnya menerusi lagu Bahasa Rindu, Adibah memberitahu bahawa penyanyi berkenaan merupakan seorang yang berbakat besar dalam bidang nyanyian.

Ujarnya, memandangkan lagu berkenaan berkisar tentang persahabatan, pemilihan Nizam juga dianggap paling sesuai kerana mereka sudah saling mengenali antara satu sama lain sejak dia berusia 16 tahun.

"Ketika bersekolah di Convent Bukit Nanas dahulu, saya terbabit dengan sebuah pementasan muzikal Uda & Dara yang menggabungkan para pelajar sekolah di sekitar Kuala Lumpur.

"Dalam pementasan muzikal berkenaan, Nizam telah dipilih untuk menyanyi dalam persembahan pembukaan dan tidak dinafikan saya begitu kagum dengan suara yang dimilikinya itu," jelasnya yang menceritakan detik awal perkenalannya dengan penyanyi tersebut.






Menurut Adibah, setelah terputus hubungan selama beberapa tahun dan akhirnya takdir kembali menemukan mereka ketika masing-masing terbabit dengan acara nyanyian untuk program Komposer terbitan TV3 pada tahun 1998.

Jelasnya, mereka diundang menyanyikan lagu yang dihasilkan oleh barisan komposer yang bertanding dalam program berkenaan dan sejak itu hubungan mereka sebagai sahabat menjadi lebih akrab sehingga sekarang.

"Nizam merupakan seorang penyanyi yang hebat dan berpengalaman luas. Jadi, rasa sayang pula kalau saya tidak menggunakan kehebatan yang dimilikinya itu untuk diabadikan dalam lagu yang menceritakan tentang persahabatan kami ini.

"Mengenai pembikinan lagu ini pula, ia telah disiapkan sejak tahun 2011, tetapi selepas tiga tahun barulah ia dapat dilancarkan kerana saya memberi fokus kepada promosi single saya yang lain terlebih dahulu," jelasya.

Menurutnya, selepas ini dia juga sudah mempunyai perancangan menghasilkan sebuah album duet sepenuhnya dengan kolaborasi bersama beberapa penyanyi popular yang lain.

Enggan komen

Dalam pada itu, Adibah turut ditanya berkenaan dengan isu perbalahan antara dirinya dengan seorang selebriti yang dikatakan saling sindir-menyindir di laman sosial.

Bagaimanapun, penyanyi itu enggan memberikan sebarang komen lantaran ia merupakan sebuah isu yang sudah basi.

"Saya tidak mahu memperbesarkan lagi perkara ini dan enggan melayan sebarang isu yang tidak mengembangkan minda.

"Lagipun saya tidaklah sampai berperang Twitter seperti yang disangka ramai dan ia sengaja diperbesarkan oleh beberapa blogger," tegasnya.

Gugup

Sementara itu, Nizam yang turut ditemui semasa majlis pelancaran tersebut menjelaskan dia berasa terharu apabila menjadi pilihan Adibah.

Menurutnya, dia tidak menyangka sama sekali peluang yang diberikan oleh penyanyi berkenaan dan ia merupakan landasan terbaik untuk dia lebih dikenali ramai lagi selepas ini.

"Saya mula mendapat lagu Bahasa Rindu ketika bekerja di sebuah hotel di Kemboja sebagai penyanyi. Kemudian saya mengambil masa selama 10 hari untuk memahami lagu ini.

"Tidak dinafikan saya berasa agak gugup ketika peringkat awal merakamkan lagu ini. Namun begitu, semuanya berjalan dengan lancar memandangkan saya dan Adibah sudah beberapa kali membuat persembahan bersama-sama dahulu," jelasnya.

Mengenai persahabatannya dengan Adibah pula, biarpun mereka jarang berjumpa memandangkan dia kerap bekerja di luar negara, hubungan mereka masih kekal utuh kerana saling berbalas khidmat pesanan ringkas (SMS).

Jom layan video baru Bahasa Rindu dari Adibah Noor & Nizam Din

Previous Post Next Post