Kira-kira 1,000 pengikut laman sosial Instagram milik Rozita Che Wan atau Che Ta telah disekat pelakon itu gara-gara terlalu rimas dengan mesej dan komen yang diberikan.
“Setiap kali saya memuat naik gambar…ada sahaja komen-komen yang mengutuk dan menggunakan bahasa-bahasa yang tidak sepatutnya.
“Sakit juga hati bila baca. Tetapi bagi saya Instagram tu personal saya. Sukahati saya lah nak letak gambar apa pun.
“Jadi, kepada sesiapa yang tak suka, tak payah follow. Setakat ini saya dah block 1,000 pengguna,” katanya ketika ditemubual Datuk Aznil pada segmen Apa Kata Malaysia dalam program HLIVE! yang disiarkan Astro Ria dan Maya HD pada malam Ahad.
Kata Che Ta yang memiliki kira-kira 300,000 pengikut di laman Istagram itu, dia turut kecewa kerana setiap kali memuat naik gambar bersama suaminya Zain Saidin, pasti ada yang tidak puas hati.
“Mesti komen negatif yang saya terima…Ish…saya pun pelik lah…Tak faham…Sampai jadi isu!
“Bergambar dengan suami pun salah? Kami bergambar di Eiffel Tower, tak bercium pun orang kata bercium! Tapi kalau bercium pun suami saya kot bukan suami orang,” katanya.
Tambah pelakon Kiah Pekasam itu lagi dia kini mengambil pendekatan untuk tidak mempedulikan komen-komen tersebut, cuma jika keterlaluan dia akan menyekat akaun pemberi komen yang melampau.
DIa juga tidak mahu terlalu memikirkan perkara tersebut kerana perkara remeh seperti wana rambut suaminya pun turut dipersoalkan.
“Mereka lupa atau tidak tahu kot yang Zain membawa watak cikgu mat saleh dalam Oh My English! dan masih dalam penggambaran,” katanya ketawa.