Fara Fauzana Sedih Ada Yang Persoalkan Niatnya Berubah



Pengacara televisyen dan penyampai radio popular, Fara Fauzana mengakui sedih apabila ada segelintir pihak di luar sana menganggap perubahannya sekarang adalah kononnya disebabkan dia kini sedang menjalinkan hubungan cinta dengan seorang pemain bola sepak negara.

Fara atau lebih mesra dengan panggilan Fafau ketika ditemui pada majlis perlantikannya sebagai duta produk minuman susu kultur, Yakult bersama penyanyi Atai mengakui berasa kesian dengan mereka yang melemparkan tuduhan sedemikian kepadanya dan berharap semua orang dapat mendoakan yang terbaik untuknya.

"Saya melakukan perubahan bukan disebabkan sesiapa tetapi ia atas kehendak saya sendiri. Saya tak perlu minta kebenaran orang pun untuk saya nak memakai tudung. Saya sedih jika ada orang yang beranggapan begitu. Malah, saya kesian dengan orang yang mempunyai pemikiran seperti itu.

"Saya bukan orang yang baik, saya pasti semua orang cuba berubah untuk jadi yang terbaik. Jadi, saya harap orang dapat mendoakan yang terbaik untuk saya," tutur pengacara program Nona ini kepada ARTISMELETOP.






Terdahulu, timbul satu gosip kononnya Fafau kini sedang bercinta dengan bekas pemain bola sepak kebangsaan, Hairuddin Omar atau lebih dikenali sebagai Hai-O. Menerusi gosip tersebut, Fafau dikatakan mula melakukan perubahan selepas dinasihati teman lelakinya yang mempunyai ciri perwatakan Islamik itu.

Walau bagaimanapun, pengacara program 'Res Q' ini menepis gosip yang mengaitkannya dengan pemain pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu dan mengakui terkejut dengan gosip yang tersebar. Fafau ketika ditemui turut mengakui tidak marah dengan gosip tersebut kerana menganggap ia tidak menjejaskan atau membebankan dirinya.






"Sejujurnya saya belum mempunyai teman lelaki lagi. Saya terkejut macam mana gosip ini boleh keluar sebab saya tidak pernah mengenalinya secara rapat. Bohonglah jika saya tidak kenal pemain bola sepak sebab saya sendiri memang aktif dengan sukan ini. Tapi, untuk bertukar nombor telefon atau mengenali secara peribadi itu memang tak ada," ujar Fafau yang menyerahkan urusan jodoh kepada Allah.

"Sebelum ini saya merancang untuk kahwin pada umur 30 tahun, namun sehingga kini saya masih belum temui jodoh saya. Saya dah berusaha dan bertawakal, jadi saya redha dan berserah kepada Allah saja mengenai perkara ini," ujarnya sebelum mengakhiri perbualan.
Previous Post Next Post