Farahdhiya serik



MENGAMBIL pendekatan tidak mencampuri urusan orang lain dan hanya mengambil tahu perihal sendiri, itu amalan pelakon Farahdhiya sejak menceburi bidang hiburan kira-kira 10 tahun lalu.

Bimbang dilabel sebagai penjaja cerita buruk tegas Farahdhiya, itu bukan caranya.

Pernah terlibat dengan insiden sedemikian apabila namanya dipetik sebagai penyebar cerita kurang enak satu masa dulu kata Farahdhiya, itu sudah cukup membuatkan dirinya serik.

Justeru Farahdhiya lebih berhati-hati dan selalu mengingati diri agar mengawal percakapan agar tidak mengundang perselisihan faham.






"Saya tahu ada pihak yang hanya menunggu masa untuk menjatuhkan saya. Orang ini sentiasa mencari peluang untuk menyungkurkan saya.

"Tapi saya tidak pernah ambil pusing, biarkanlah. Sebab saya yakin bahawa setiap niat yang jahat itu ada pembalasannya," kata Farahdhiya yang enggan mendedahkan gerangan musuhnya itu.

Memilih kawan rapat yang bukan daripada golongan pekerja seni Farahdhiya menganggap itu cara paling selamat buat dirinya.

Skop kerja yang berbeza juga kata penyanyi yang popular dengan lagu Bertahta Di Hati ini secara tidak langsung membolehkan pemikirannya berkembang.

"Ada orang kata saya semakin sepi, tak ada produk. Tapi sebenarnya saya masih aktif berlakon dan memenuhi jemputan menyanyi di majlis korporat.

"Kalau tiada penggambaran, saya lebih suka bersama keluarga atau bercuti. Itu terapi terbaik buat saya," katanya yang bakal bercuti ke Hong Kong selepas Aidilfitri nanti.

Penat bercinta

Mengulas tentang soal cinta Faradhiya memberitahu, dia sudah penat bercinta malah menganggap tempoh lapan tahun bercinta dengan dua bekas teman lelakinya sebagai membuang masa.

Mengakui serik namun Faradhiya tidak pula menolak sekiranya ada lelaki yang benar-benar tulus menyuarakan hasrat untuk menyunting dirinya.

"Soal hati, cinta dan perkahwinan bukan satu perkara yang boleh dipaksa atau tangkap muat. Saya pun ada prinsip hidup dalam soal begitu.

"Sebab dengan usia saya yang bakal menghampiri 30 tahun ini, saya sudah memikirkan tentang soal masa depan. Mahu ada keluarga dan anak sendiri.

"Jadi kalau masih belum bertemu dengan jodoh yang sesuai, apa boleh buat," kata Farahdhiya yang bersyukur kerana kedua-dua orang tuanya tidak pernah memaksa dirinya untuk segera berkahwin.

Menafikan seorang wanita yang terdesak dalam soal membina rumah tangga kata Faradhiya, yang mampu dilakukan adalah berdoa agar bertemu dengan pasangan hidup yang memahami dirinya satu hari nanti.
Previous Post Next Post