RAMAI lelaki di luar sana yang gembira apabila pelakon Neelofa mengisytiharkan dirinya kini sudah kembali solo.
Hubungannya dengan pelakon/pengarah/penerbit Hans Issac dikatakan sudah berakhir kira-kira empat bulan lalu.
Tak beritahu pula sebab musabab mengapa mereka memutuskan hubungan cinta itu. Bila masa Neelofa bercinta dengan Hans? Alih-alih saja sudah putus. Selama ini rasanya tak pernah pula Miss J dengar Neelofa mengaku sedang bercinta dengan Hans. Begitu juga dengan Hans.
Yang Miss J tahu mereka hanya kawan. Itu bukan ayat Miss J. Tapi ayat yang mereka keluarkan sendiri. Jadi tak tahulah sebenarnya mereka ini sudah berapa lama bercinta.
Yang kelakarnya kenyataan Neelofa yang dia sudah putus cinta dengan Hans itu keluar tidak lama selepas Hans menyatakan hasrat untuk menamatkan zaman bujang Disember ini.
Memang kelakar juga apabila melihat kenyataan Neelofa itu. Maknanya selama ini mereka memang berkasih-kasihanlah.
Betullah kata orang tua-tua, kalau tak ada angin, masakan pokok bergoyang. Tapi mengapa menafikannya sebelum ini?
Takut saham jatuh? Takut cinta tak menjadi? Tapi kalau takut tak menjadi, berani pula keluarkan kenyataan tentang putus cinta.
Keliru sungguh Miss J dengan sikap sesetengah artis yang suka sangat coverline kisah cinta mereka. Padahal rupa-rupanya bercinta bagai nak rak!
Nampaknya Miss J gagal menghidu cerita sebenar dan selalu anggap 'ala tak ada ceritalah'. Inilah padahnya.