Miera Leyana bukan anak manja



LATAR belakang gadis berusia 21 tahun ini tidak kurang hebatnya. Merupakan anak kepada ahli perniagaan, Datuk Seri Kasmi Arsat dan Datin Seri Aishah Abdullah, Miera Leyana boleh diumpamakan lahir dalam dulang emas.

Tentu sekali dengan limpahan kemewahan yang dimiliki keluarga, Miera tidak perlu bersusah payah menjadikan profesion lakonan sebagai punca pendapatan.

Pun begitu dengan rendah diri kata Miera, dia tidak pernah mendabik dada malah jauh sekali untuk bermegah-megah dengan latar belakang keluarganya itu.

Ini kerana kata Miera, semuanya itu adalah hasil titik peluh orang tuanya, bukan daripada dirinya sendiri.

Malah tegas pelakon filem Apokalips itu dia bukan seorang anak manja yang sentiasa 'bersandar' kepada kemewahan keluarga semata-mata.






"Yang kaya itu keluarga bukan Miera. Miera tak ada apa-apa pun malah orang tua tidak ada kena mengena dalam kerjaya ini. Cuma mereka menyokong kuat di belakang Miera.

"Sebab itu dalam soal lakonan, Miera kena tolak tepi latar belakang tetapi mencari faktor yang mampu membuatkan orang melihat lakonan Miera.

"Kerana Miera percaya seseorang artis itu mampu bertahan lama kerana bakat yang ada dalam diri mereka," katanya yang senang memilih untuk berdikari.

Biarpun masih dalam tanggungan ibu bapa tegas Miera, dia selalu bermusahabah diri kerana yang diperolehinya selama ini adalah ihsan daripada mereka.

Tidak hairanlah jika Miera dia lebih suka berbelanja menggunakan wang simpanan sendiri kerana nikmatnya lebih indah.

"Kita akan menjadi berkira kalau membeli dengan duit sendiri. Tapi kalau Mama atau Papa belanja, pasti kita jadi tidak kisah sangat.

"Katalah Miera beli sendiri beg tangan berjenama dengan duit lakonan Miera, itu lebih bermakna. Miera akan lebih menghargai beg tangan itu dan sentiasa memastikannya sentiasa dilap dan dijaga dengan baik," katanya memberi contoh.

Pun begitu dalam soal kemewahan kata Miera, dia pernah 'terkena' apabila ada beberapa pihak cuba mengambil kesempatan dengan mengikis harta milik keluarganya itu.

Biarpun secara luaran dia kelihatan seperti keanak-anakan namun kata Miera, dia boleh menghidu niat tidak baik pihak yang cuba menggunakan dirinya untuk kepentingan peribadi.

Oleh kerana itulah Miera tidak mahu terlalu mendedahkan tentang latar belakang hidupnya kepada khalayak.

"Ada macam-macam perangai dalam lingkungan pekerja industri hiburan ini. Mereka lebih tertarik kepada kekayaan seseorang artis itu. Di situ juga membezakan bentuk layanan yang bakal diterima.

"Pernah satu hari Miera pandu kereta buatan Malaysia ke lokasi penggambaran, masa itu orang layan pun acuh tak acuh tapi berlainan terjadi pada keesokan harinya apabila Miera bawa kereta mewah.

"Sehinggakan timbul gosip mengatakan Miera ditaja oleh seorang yang bergelar Datuk walhal Datuk yang dimaksudkan itu adalah Papa Miera sendiri," katanya yang tidak selesa dengan minda segelintir pihak yang mengukur kehebatan artis menerusi kekayaan mereka.

Minat utama

Mengakui tidak menyasarkan bayaran lumayan sebagai habuan sepanjang menceburi bidang lakonan kata Miera, yang menjadi keutamaan adalah tuntutan minatnya.

Sementelah dipilih sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem menerusi filem Pecah pada Anugerah Skrin 2013 kata Miera, itu adalah cabaran buatnya.

Tekanan dalam memastikan kualiti lakonan sentiasa terjaga juga membuatkan ibunya yang bertindak sebagai pengurus merancang graf lakonannya.

"Setiap kali ada tawaran berlakon, Mama akan meneliti skrip yang diberikan. Dia memang seorang yang cerewet dalam memastikan lakonan Miera tidak 'kosong'.

"Kalau boleh dia mahu mempelbagaikan lakonan dan memastikan lakonan Miera itu benar-benar berkesan. Walaupun cuma sebabak dua, mesti berkesan," katanya yang kini mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaaan.

Masih belum menetapkan jenis perniagaan yang bakal diceburi kata Miera dia perlu bijak merancang masa depan kerana tidak selama-lamanya mampu bertahan dalam bidang lakonan.

Justeru sekarang dia giat mempelajari selok belok dunia perniagaan daripada orang tuanya dalam usahanya untuk bergelar ahli perniagaan berjaya satu hari kelak.
Previous Post Next Post