Alibi Music masih beroperasi


FERHARD Ahmad (enam kiri) bergambar bersama artis-artis di bawah Alibi Music, pada sidang akhbar baru-baru ini.

PERNAH menaungi nama-nama besar seperti Marsha Londoh, Imran Ajmain, Sleeq, Ezlynn, Awal Ashaari, The Fabulous Cats serta ramai lagi, syarikat rakaman Alibi Music yang pernah gah suatu ketika dahulu kini bangkit kembali dengan semangat baharu meneruskan perjuangan mereka.

Krisis ekonomi dan kelembapan industri hiburan tempatan yang bermula sekitar 2012 menyebabkan Pengarah Urusannya, Ferhard Ahmad terpaksa mengambil tindakan proaktif menyelamatkan syarikatnya daripada terus berkubur.

Lantas, Ferhard akur dengan keadaan semasa dan seluhurnya berterus terang dengan kakitangannya ketika itu bahawa dia perlu mengecilkan organisasinya, sekali gus operasinya juga dihadkan.

“Dahulu, kami bermula dengan 18 orang artis yang bernaung di bawah Alibi Music. Puluhan album, single serta klip video dilancarkan dan segelintir mereka mampu membina nama tersendiri dalam industri muzik tempatan.

“Tidak lama kemudian, kira-kira dua tahun selepas itu, berlaku kegawatan dalam industri hiburan sama ada muzik mahupun filem sehinggakan membuatkan kami mengurangkan kos dan produksi iklan atau pemasaran.

“Disebabkan itu jugalah, ramai yang beranggapan bahawa Alibi Music sudah berkubur dan tidak beroperasi lagi. Sebaliknya, kami masih aktif seperti biasa, cuma kurang publisiti kerana kos pemasaran yang dikurangkan," jelasnya ketika ditemui pada majlis Bersama Bintang Alibi Music di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.






Bintang baharu

Kembali bersaing di persada seni muzik tanah air, Alibi Music tampil memperkenalkan lapan artis baharu yang bernaung di bawah mereka dengan menampilkan konsep lebih segar bagi mewujudkan daya saing yang lebih positif.

Antara barisan artis berkenaan ialah naib juara Vokal Bukan Sekadar Rupa, Mafa atau kini mahu dikenali dengan nama Mafarikha selain finalis One In A Million musim pertama, Lokman Aslam serta juara MyStarz LG kedua, Wana Shafudin.

Selain itu, nama lain yang dilihat bakal menyinari ialah duo dari Singapura, Delisha, bekas peserta Mentor iaitu Ayish, kumpulan FMG serta Muadz dan Andy Merican.

Menurut Ferhard, pemilihan kesemua artis ini dilakukan secara teliti dengan mementingkan kebolehan mereka menyanyi secara langsung, bukannya sekadar boleh menyanyi ketika rakaman suara diadakan.

“Hanya mereka yang boleh menyanyi ‘live’ sahaja yang boleh bernaung di bawah Alibi Music. Sekarang ini terdapat ramai penyanyi bergelar ‘artis rakaman’ bukannya penyanyi.

“Di samping itu, kesemua mereka mempunyai kelebihan membuat lagu sendiri dan pihak syarikat sentiasa memberi peluang untuk mereka menyanyikan lagu-lagu ciptaan sendiri. Menerusi kaedah ini, ia dilihat mewujudkan situasi menang menang kepada kedua-dua pihak," katanya.

Bagaimanapun, tambahnya, dia bertanggungjawab menentukan lagu yang sesuai dinyanyikan mengikut trend semasa, bukannya syok sendiri.

“Dulu kita buat kontrak setahun sahaja tetapi ia rugi kepada kami kerana tempoh setahun itu terlalu singkat dan tidak semestinya radio memainkan sesebuah lagu itu awal. Maka kali ini saya memanjangkannya kepada tempoh dua tahun untuk memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak," katanya.
Previous Post Next Post