Fizo, Mawar semakin kuat



Mawar abdul Karim dan Fizo Omar berasa bangga kerana jenama Fareeda kini turut menggunakan kapal terbang untuk iklan sebagai strategi baharu.

ENTAH kenapa akhir-akhir ini nama Fizo Omar dan isterinya sering menjadi sasaran tidak puas hati sesetengah pihak. Dari kisah rampasan tudung sehinggalah sambutan hari lahir isterinya Mawar Abdul Karim, 25, baru-baru ini ada sahaja yang tidak kena di mata mereka.

Menurut Fizo, dia memang menyedari hal ini, bagaimanapun bukan suatu tekanan untuk dia terlalu memikirkan soal ini dengan terlalu mendalam. Malah apa yang paling penting isterinya juga tidak pernah membangkitkan masalah ini.

Baru-baru ini dengan niat mahu berkongsi suasana sambutan hari lahir isterinya di butik tudung Fareeda, Fizo sekali lagi menerima tempias kejian beberapa pengikutnya di laman sosial. Malah ada komen yang melampau membandingkan kek yang dirakam dalam video itu sebagai keranda.






Mungkin kerana saiznya yang terlalu besar, dan telahan yang mengatakan Fizo dan Mawar sengaja menunjuk-nunjuk menjadikan insiden ini semakin diperkatakan. Jelas Fizo bukan itu niat sebenarnya, memandangkan ia hanya sambutan biasa dan bukan luar biasa.

Malah tidak dilupakan insiden disumpah salah seorang pelanggan tudung Fareeda juga terus membuatkan lebih ramai pihak kasihan dengan nasib Fizo dan Mawar sendiri. Menjelaskan setiap satu insiden dengan berhati-hati, bagi Fizo sebagai seorang selebriti dan usahawan, dia tahu bukan mudah untuk menjaga hati semua pihak.

“Biar saya jelaskan kenapa kek itu besar, bukan tujuan untuk menunjuk atau apa. Memandangkan hari itu juga kami lancarkan rekaan tudung baharu Fareeda jadi memang ramai yang ada.

“Memang sengaja kami tempah kek yang besar untuk sambutan hari lahir Mawar. Memandangkan sambutan itu berlangsung di butik Fareeda jadi kami fikir mahu kongsikan bersama dengan pelanggan serta pekerja Fareeda sendiri," katanya.

Tidak sedih mahupun kecewa, Fizo berkata dia sentiasa bersikap positif dalam hal ini. Paling membanggakan Fizo, isterinya juga sangat kuat menerima tempias ini. Malah baru-baru ini syarikat isterinya itu turut mengorak langkah memulakan iklan perniagaan di awan biru dengan dengan menggunakan kapal terbang.

“Kalau kita lihat yang menjatuhkan orang ini ada di mana-mana. Sebab itu perkara normal dalam perniagaan malah dalam karier saya juga. Mawar memang tidak pernah terkesan, dia kuat dan saya bangga dengannya.

“Tentang iklan menggunakan kapal terbang ini memang saya sudah fikirkan apa yang akan orang kata, tetapi bagi saya dan isteri, ini adalah fasa baharu untuk perniagaan, jangan asyik fikir negatif," katanya.

Sibuk dengan urusan perniagaan, jelas Fizo memang benar dia semakin jarang muncul di kaca televisyen. Menolak takut kehilangan populariti, jelas Fizo dia lebih lebih suka memberi tumpuan dalam satu-satu bidang dahulu.

“Buat masa sekarang memang saya mahu beri tumpuan dalam bidang perniagaan dahulu. Soal lakonan tipulah kalau saya kata tidak rindu.

“Mungkin bila semuanya selesai baru saya akan kembali berlakon, paling lewat selepas raya. Kalau ikutkan memang ada tawaran tetapi saya mahu ambil masa dahulu," katanya.






Mawar sudah biasa

Kerana tempias populariti si suami dia kini juga tidak lari daripada terkena kesan beberapa sikap tidak manis pembelinya. Bagi Mawar sendiri, dia tidak pernah salahkan suaminya dalam soal ini memandangkan dia tahu sebagai usahawan ini adalah perkara biasa.

“Saya sudah biasa dengan keadaan ini. Malah sebelum ini juga saya pernah kena lebih teruk.

“Bila bercakap soal manusia kita tahu tidak semua daripada kita mempunyai pandangan yang sama, jadi saya memang sudah bersedia dengan keadaan ini sejak dari sebelum berkahwin lagi," katanya.

Bercakap soal kemewahan, wanita ini tegas memberitahu tidak semua yang dilihat mereka di luar sana semudah yang disangka. Katanya dia pernah melalui waktu-waktu sukar dalam perniagaan, jadi katanya jangan salah anggap tentang dirinya.

“Sebelum kami berada di tahap ini kami juga pernah melalui kesusahan, mahu iklan di akbar juga berkira-kira itupun untuk ruangan kecil.

“Tetapi kini kami sudah boleh iklankan melalui kapal terbang, dan itu saya anggap satu lagi fasa yang kami rasa perlu kami kongsi," katanya.
Previous Post Next Post