Jimmy terus balik, tidak jumpa anak



PENGASAS produk kencantikan terkenal, Muniroh Kassim, 51, memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah kali terakhir dia membawa cucunya, Zahra Rania Shanley, 2, berjumpa dengan bekas menantunya Jimmy Shanley Norjahan Salleh, 34, ialah pada bulan lalu.

Menurutnya, Zahra Rania dibawa ke mahkamah pada 21 Mei 2014 semasa prosiding yang lalu.

"Selesai sahaja prosiding, Jimmy terus balik. Dia tidak berjumpa mahupun melihat anak kecil itu," katanya.

Ibu kepada Nur Suhaila Eliani Suhaimy, 25 itu mengakui, Jimmy pernah mengambil Zahra Rania di rumahnya namun abang dan kakak iparnya sahaja yang datang.

"Saya dimaklumkan bahawa anak tersebut ditinggalkan di rumah abang dan kakak iparnya di mana terdapat pembantu rumah yang menjaga Zahra Rania," katanya.






Muniroh berkata, anaknya, Nur Suhaila memegang jawatan pengurus dalam syarikat milik keluarganya dan akan hadir ke pejabat sekiranya ada keperluan.

"Jika tidak ke pejabat, beliau berada di rumah bersama anak tersebut dan jika anak saya perlu hadir ke pejabat, saya yang mengambil alih tugas menjaga Zahra Rania," katanya dalam afidavit keterangan.

Sepanjang kehadiran Jimmy dalam keluarganya, tiada sebarang pergaduhan berlaku antara Muniroh dan bekas menantunya.

"Tiada pergaduhan mahupun bermasam muka berlaku antara kami," katanya.

Sebelum ini, Nur Suhaila Eliani yang diwakili peguam syarie, Sa'adiah Din memfailkan ubah perintah hadanah pada 19 April 2013 kerana bimbangkan kebajikan anaknya yang masih kecil.

Jimmy bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah kerana sedang berbulan madu di luar negara dan hanya diwakili oleh peguamnya, Mohd Noor Aizan Md Idrus.

Prosiding dijalankan di hadapan Hakim Syarie, Mawardi Che Mat ditangguhkan sehingga 4 September depan.
Previous Post Next Post