Aeril Zafril & Wawa Zainal Terbawa-bawa kemesraan di lokasi


Aeril Zafril dan Wawa Zainal

DRAMA Cerita Cinta Kita yang kini hampir empat minggu ditayangkan sempena dengan sambutan ulang tahun TV3 yang ke-30 pada bulan Jun lalu, nyata mendapat sambutan yang memberangsang.

Gandingan mantap pasangan suami isteri Aeril Zafril dan Wawa Zainal, drama eksklusif ini bersiaran pada setiap Rabu dan Khamis jam 9 malam.

Selain Aeril dan Wawa, drama ini turut membariskan ramai pelakon popular seperti Dazrin Kamarudin, Almy Nadia, Ika Nabila, Erry Putra, Liza Abdullah, Dilla Ahmad, Razak Ahmad, Datuk Eizlan Yusof, Arash Mohd dan Sherlie Merlis.

Berbeza dengan drama-drama yang pernah dihidangkan sebelum ini, Cerita Cinta Kita, lebih dramatik apabila memilih latar belakang tahun 80-an dan menjadikan perkampungan di Kuang, Selangor sebagai lokasi penggambaran.






Turut bersiaran dalam tempoh lebih lama berbanding drama biasa, drama bersiri 22 episod ini memberikan cabaran besar buat seluruh team produksi.

Pengarahnya, Azmi Hatta berkata, penggambaran yang mengambil masa agak panjang selama dua bulan di sekitar Kuang, Selangor agak memenatkan. Malah ia memerlukan ketahanan mental dan fizikal untuk menjayakannya.

"Tapi saya bersyukur team produksi yang sangat cekal dan beri sepenuh kerjasama bagi menjayakan drama ini.

"Biar sekecil mana kerja mereka waima pembancuh air sekalipun, mereka tetap menyumbang tenaga kerana drama ini lebih lama berbanding drama arahan saya sebelum ini," katanya.

Cerita Cinta Kita terbitan Orangetree Production merupakan hasil nukilan skrip oleh Zarihah Hassan ini menyingkap sebuah cinta agung antara Adam (Aeril Zafrel) dan Salmah (Wawa Zainal).

Semarak cinta mereka bermula ketika Adam berumur 24 tahun manakala Salmah berusia 19 tahun sehingga ke usia tua walaupun mereka berdua terpaksa mengharungi pelbagai dugaan untuk bersatu.

Dek perbezaan darjat, keluarga Salmah membantah hubungan cinta ketika itu dia sedang menuntut di sebuah Maktab Perguruan.

Dalam usaha untuk memisahkan Adam dan Salmah, keluarga Salmah telah membawa Salmah pulang dari Teluk Intan, Perak ke Kuala Lumpur.

Adam dan Salmah telah menulis surat untuk terus berhubung tetapi sayangnya surat-surat tersebut telah diambil dan disimpan oleh ibu Salmah, Melati.

Lima tahun berlalu tanpa khabar berita tetapi Adam tetap merindui dan mencintai Salmah namun, Salmah menganggap Adam telah melupakannya.

Selepas melalui pelbagai halangan hubungan cinta bertaut semula apabila suami Salmah, Dr. Khairudin terbunuh dalam satu kemalangan.

Namun kebahagiaan yang dinikmati oleh Adam dan Salmah tidak berpanjangan kerana ingatan Salmah semakin merosot.

Adam terpaksa mengulang setiap kisah yang mereka pernah lalui bersama setiap hari kepada Salmah. Mungkinkah satu hari nanti, Salmah akan lupa siapakah Adam dalam hidupnya?

Tegur kalau 'tersasar'

Memilih Aeril dan Wawa sebagai teraju utama, Azmi, tidak menafikan ia merupakan tarikan utama dalam 'Cerita Cinta Kita' selain jalan cerita yang penuh emosi dan air mata.

Pernah digandingkan menerusi filem Budak Pailang dan 99 Kali Rindu, akui Azmi tidak sukar untuk bekerjasama dengan pasangan suami isteri itu.

Malah Azmi turut memuji kehebatan lakonan Aeril dan Wawa yang mampu menghayati watak masing-masing dengan baik.

"Namun begitu, kadang-kadang saya terpaksa juga bimbing mereka yang ada kalanya 'tersasar' daripada watak yang diberikan.

"Kehidupan realiti dan kemesraan sebagai suami isteri sering terbawa-bawa dalam lakonan.

"Dari situ saya perlu tegur mereka dan Alhamdulillah mereka begitu senang untuk bekerjasama," katanya.

Sambung Azmi, mungkin mereka belum serasi dengan watak yang berbeza dalam drama menyebabkan mereka 'terlupa' seketika.

"Saya tiada masalah untuk bimbing mereka, kebiasaannya perkara ini berlaku jika mereka sudah terbiasa di dunia realiti.

"Tetapi dalam lakonan, mereka perlu menjadi pasangan kekasih yang berlainan darjat," katanya,

Cabaran lokasi, cuaca

Dalam masa sama, Azmi berkata cabaran terbesar ketika mengarah drama ini adalah faktor cuaca.

Katanya, kebetulan sepanjang tempoh penggambaran dalam musim hujan menyebabkan mereka perlu menangguhkan atau berehat seketika sementara menyambung kerja semula.

"Saya bersyukur biarpun kami menghadapi pelbagai cabaran lain seperti komitmen pelakon dan jadual mereka selalu bercanggah dengan penggambaran, ia tetap berlangsung dengan lancar.

"Satu lagi cabaran saya, drama ini berlatar belakangkan tahun 80 an dan agak sukar mencari rumah banglo yang bercirikan klasik dan mewah," katanya.

Bagi Azmi, rumah tersebut penting bagi menaikkan suasana pada tahun tersebut, sedangkan peredaran zaman berlaku di sekeliling kita.

Previous Post Next Post