EPISOD kisah cinta yang baru disimpul secara rasmi antara pelakon Fizz Fairuz dan Almy Nadia semakin berbunga apabila pasangan itu disahkan akan menerima kehadiran orang baharu.
Biarpun kandungan Almy baru sahaja mencecah usia lima minggu, Fizz mengakui dia menjadi tidak keruan barangkali terkena tempias pembawaan budak.
"Sejak kebelakangan ini, saya jadi baran. Cepat rasa nak marah dan nak mengamuk sahaja. Risau juga kalau orang fikir saya macam kurang ajar.
"Dia (Almy) pula hanya mengalami masalah perut sebu dan asyik muntah-muntah," kongsi pemilik nama sebenar Mohd. Fairuz Zainal Abidin, 35, itu.
Perkara itu diakui Almy yang pada mulanya pelik melihat kerenah Fizz yang cepat melenting.
"Mula-mula itu terasa hati jugalah, tapi apabila dapat tahu mungkin perangai asyik nak marah itu disebabkan saya mengandung, saya okey sahaja. Saya sendiri buat tak tahu je kalau dia nak beremosi," jelas pelakon drama Dunia Baru itu.
Tambah Almy, walaupun dia yang berbadan dua, Fizz pula yang lebih-lebih mengidam tetapi banyak membuat permintaan hendak makan macam-macam.
"Buat masa ini saya tak ada lagi mengidam mahu makanan pelik-pelik, tapi, peliknya Fizz pula yang lebih-lebih mengidam itu ini.
"Baru-baru ini dia minta kuih badak berendam, kemudian dia suruh saya cari telur itik dan dimasak lemak cili api untuk dia makan sahur. Saya pening, kat mana nak cari telur itik malam-malam?" cerita Almy bahagia.
Biar apa pun cerita alahan mengandung yang dialami, bagi Fizz, apa yang lebih penting dia berasa cukup teruja untuk bergelar bapa.
"Saya dapat tahu berita itu sejak 1 Ramadan lagi apabila Almy periksa guna kit ujian kehamilan, tapi ketika itu reaksi saya biasa-biasa sahaja sebab mana tahu mungkin alat itu rosak.
"Keesokan harinya, kami ke klinik dan apabila doktor sahkan, baru saya percaya," kata Fizz sewaktu ditemui selepas majlis tayangan perdana filem Mat Tudung di Wangsa Walk, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tidak menetapkan sebarang tempoh jauh sekali hendak berkira-kira soal anak, ujar Fizz, dia memang tidak pernah merancang dan belum memikirkan soal rezeki untuk menimang cahaya mata.
"Saya anggap ini semua pemberian Allah. Dia nak beri awal, jadi kami terima sahaja. Saya tak pernah rancang bila nak ada anak. Tapi bila dah dapat saya bersyukur," ujar pelakon drama Nur Kasih itu.
Dalam kegembiraan menyambut berita kehamilan si isteri, Fizz sedar ada banyak cakap-cakap belakang yang cuba mempertikaikan usia kandungan Almy yang didakwa sebagai terlalu awal berbanding usia perkahwinan mereka.
"Saya selalu nasihat dia (Almy) supaya jangan tertekan sebab takut akan menjejaskan kandungannya.
"Saya suruh dia jangan layan komen-komen negatif yang nak memburukkan keadaan," tutur Fizz yang tidak kisah sama ada bayi dalam kandungan Almy itu lelaki atau perempuan.
Fizz mengahwini Almy pada April lalu juga mahu memastikan apa sahaja yang dimahukan wanita itu tertunai.
"Saya cakap dengan Almy, kalau dia nak makan apa-apa bagi tahu saja, saya akan carikan," ujar pelakon berusia 35 tahun itu.
Sementara si suami melayan keterujaan perasaan, Almy, 28, pula mengalami lemah-lemah badan akibat selalu muntah.
"Saya cuma makan sikit, tapi itu pun perut jadi sebu. Kalau malam saya rasa asyik nak muntah. Jadi biasanya saya akan tidur awal sebab nak elak rasa loya dan muntah itu," ujarnya yang masih berpuasa seperti biasa.
"Saya harap dapat berpuasa penuh tahun ini, sebab tempoh mengandung ini sahajalah masa yang boleh, kalau tidak kena tunggu sampai menopaus baru boleh puasa penuh," katanya yang kini membantu menguruskan perniagaan Restoran Las Corner yang terletak di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
Restoran itu diusahakan oleh Fizz bersama dua orang rakan kongsinya
Bercerita mengenai perancangan hari raya, pasangan itu memberitahu, mereka akan menyambut kedatangan lebaran di Pulau Pinang terlebih dahulu sebelum pulang ke kampung Fizz di Raub, Pahang pada raya ketiga.