Shila Amzah Ramadan kedua di Tanah Besar China



USAI tarawih pertama Ramadan tahun ini, Shila Amzah tidak boleh berlengah-lengah. Untuk menggeliat malas atau meninjau-ninjau menu lauk sahur yang bakal dihidangkan si ibu tercinta pun dia tidak sempat.

Malam itu, anak sulung penyanyi ND Lala itu harus bergegas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Dia harus berangkat terbang, pulang semula ke Beijing, China.

Rutin perjalanan yang mengambil masa kira-kira enam jam itu sudah terlalu biasa buat penyanyi yang popular dengan lagu Patah Seribu itu. Di sana karier dan di sini keluarga.






"Saya sudah biasa begini, saya gembira walaupun penat dan kena banyak berkorban. Saya balik pun sekejap sahaja, dapatlah juga empat hari tiga malam, macam pergi bercuti pula.

"Tapi, jadual memang sangat padat, saya balik untuk promosi konsert di radio-radio dan fotografi yang telah diaturkan," katanya secara eksklusif kepada Sensasi Bintang.

Tidak terkilan kerana tradisi menyambut kedatangan Ramadan tidak boleh diraikan bersama keluarga, Shila akui perasaan sedih atau emosi sebegitu harus diketepikan. Dia berkelana demi cintakan karier yang telah berdarah daging dalam tubuhnya sejak kecil.


SHILA AMZAH bakal pulang lagi ke Kuala Lumpur pada 19 Julai nanti untuk majlis pelancaran konsertnya, Konsert Cinta Shila Amzah.

"Pada 19 Julai nanti, saya akan pulang lagi. Tapi itu lagi kelakar, saya tak sempat bermalam pun, pagi sampai KL, terus ada pelancaran konsert di Paradigm Mall, Kelana Jaya, Selangor. Tengah malam saya kena ambil penerbangan balik ke Beijing," tambah Shila lagi.

Ceria sambil ditemani keluarga, masa emas sepanjang dalam perjalanan ke KLIA itu dipinjamkan seketika kepada penulis. Walaupun wawancara ini sekadar dilakukan menerusi panggilan telefon, banyak perkembangan terbaru yang Shila kongsikan.

Tahun ini menjadi Ramadan kedua Shila di China. Bezanya, tahun lalu dia di Shanghai, tahun ini pula jauh ke utara China iaitu Beijing.

"Memang, bila balik KL, rasa sangat bahawa masa itu emas. Di Beijing sekarang musim panas, suhu di sana boleh cecah 40 darjah Celsius.



Dua hari terbaring

"Subuh pula kira-kira pukul 3 pagi dan waktu berbuka sekitar 7.30 malam. Waktu siang lebih panjang. Tak macam semasa di Shanghai dulu, di Shanghai, waktu berpuasa lebih pendek berbanding di Malaysia," cerita Shila yang kini sibuk merakam album Mandarin di sana.

Sepanjang bulan puasa ini juga, penyanyi yang mencipta kejutan sewaktu menjuarai Asia Wave pada September 2012 itu juga sibuk dengan pembikinan album runut bunyi untuk sebuah filem animasi di sana.

Lentur Shila, biarpun banyak masa dikorbankan untuk Konsert Cinta Shila Amzah di Shanghai dan KL, tetapi komitmen di Beijing tidak boleh diketepikan. Boleh dikatakan, setiap hari ada sahaja undangan persembahan yang perlu dijayakan.

"Saya sepatutnya melancarkan album Mandarin sekitar Jun lalu, tapi terpaksa dianjak ke Ogos. Mungkin sebab terlalu sibuk, baru-baru ini saya disahkan menghidap asma," jelas Shila.



Serangan asma kronik itu memaksanya berulang-alik ke hospital.

"Sejak kecil sampai umur 24 tahun sekarang, itulah kali pertama saya kena asma. Rasa macam nak mati, dua hari saya terbaring. Satu persembahan terpaksa dibatalkan. Doktor kata, kalau lambat dihantar ke hospital, nyawa boleh melayang.

Raya atas awan

"Sekarang saya kena berpantang. Paling sedih, saya langsung tak boleh makan makanan pedas. Pihak pengurusan tak boleh kurangkan kesibukan jadual saya tapi mereka boleh kurangkan masa saya di sesuatu lokasi. Contohnya tak perlu nak menunggu lama-lama untuk latihan.

"Saya juga tak dibenarkan keluar di khalayak ramai kerana peminat di sana agak keterlaluan dan fanatik," jelas Shila kini ditemani pembantu dan pengurusnya sahaja sepanjang di Beijing.

Bercerita lanjut mengenai Konsert Cinta Shila Amzah pada 16 Ogos di Shanghai dan 13 September di KL, Shila mahu mendedikasikan tema cinta yang dipilihnya untuk peminat, ibu bapa, keluarga, sahabat dan semua yang mengenali dirinya.

"Saya pernah cakap nak bawa seorang penyanyi luar sebagai kejutan. Penyanyi itu teman rapat saya, seorang penyanyi lelaki popular dari Taiwan. Dia akan bersama saya di KL nanti," ujar Shila yang tidak gentar jika dikaitkan ada hubungan istimewa dengan penyanyi undangannya itu.

Shila yang pernah terjerumus dalam kontroversi cinta pelakon Sharnaaz Ahmad sebelum beralih kasih kepada Johan As'ari akhirnya membuatkan dia nekad fokus terhadap karier.



"Saya akan cakap apabila saya sudah benar-benar ada seseorang yang istimewa," ujar Shila yang baru-baru ini dikatakan menjalin hubungan cinta dengan seorang peminatnya setelah sejumlah gambar tersebar menerusi aplikasi Instagram.

Terheret oleh emosi Ramadan dan tentunya perancangan kemeriahan sambutan Aidilfitri, Shila juga ada cerita yang mahu dikongsikan.

Tidak seperti tahun lepas, tahun ini Shila langsung tidak akan muncul di kaca televisyen dalam sebarang program hiburan raya.

"Tahun lepas, jadual bulan puasa saya tidaklah sepadat tahun ini. Saya pula bersetuju dengan apa sahaja agenda yang diaturkan pengurusan di sana sampai tak perasan bahawa Hari Raya Aidilfitri berkemungkinan besar akan jatuh pada 28 Julai. Sebenarnya saya ada sebuah konsert di Guangzhou pada 26 Julai," kongsinya.

Disebab jarak dan jadual konsert yang begitu dekat dengan jangkaan tarikh hari raya, Shila mungkin akan menyambut pagi 1 Syawal dalam penerbangan.

"Saya tak terkilan jika saya tak ada program raya di kaca televisyen, bagi saya hari raya hari bahagia yang perlu disambut dengan keluarga. Itu anugerah yang paling berharga. Insya-Allah, saya diberi pelepasan beraya dengan keluarga sehingga raya keempat," ungkapnya.

Nada bahagia bersenandung dalam setiap letus bicaranya. Jauh di negara orang, tanah air sendiri seperti menjadi negara kedua, namun Shila akur dengan takdir hidup dan kariernya. Dia berkelana merentas benua dengan sebuah pencarian yang bukan secara tiba-tiba jatuh ke riba.
Previous Post Next Post