Hezzy Azra
NAMA novelis wanita ini dalam bidang penulisan tidak perlu diperkenalkan lagi sementelah karya pertamanya Melodi Kasih mendapat sambutan hebat daripada peminat novel tempatan.
Mula menjinakkan diri dalam bidang ini seawal tahun 2006, anak jati Kuala Lumpur ini memberitahu minatnya terhadap penulisan bermula hasil dorongan kakak kedua yang melihat dia membelek novel milik kakaknya itu.
“Saya masih ingat dia bertanya, tidakkah saya mahu menulis novel. Saya fikir tidak ada salahnya mencuba, lagipun saya memang minat untuk menulis,” katanya yang terkenal dengan nama pena Hezzy Azra ini.
Akui Hezzy Azra, bermula detik itu, dia mula merangka idea dan berusaha menulis manuskrip pertama dan kedua.
“Alhamdulillah manuskrip yang siap saya hantar kepada pihak Alaf 21.
“Sudah memang rezeki saya, manuskrip kedua ditulis terpilih untuk dibukukan dan terhasil Melodi Kasih pada Disember 2007.
“Selepas itu, barulah manuskrip pertama saya, Kenangan Terindah diterbitkan pada November 2008,” ujarnya yang mendapat pendidikan dalam bidang pengurusan dan perniagaan.
Selain Melodi Kasih, Hezzy Azra turut dikenali menerusi novel Aku Pilih Dia dan Semerah Red Velvet.
Berbicara mengenai dari mana tercetus idea menghasilkan novel-novelnya, jelasnya, ia lahir daripada pengalaman rakan-rakan dan pemerhatian terhadap persekitaran.
“Melodi Kasih misalnya, idea datang ketika saya sedang bersembang dengan dua rakan sambil minum petang, jadi saya fikir mengapa tidak hasilkan novel mengenai kisah tiga sahabat yang mempunyai kisah hidup tersendiri.
“Begitu juga Semerah Red Velvet, saya tulis kerana kek Red Velvet pernah menjadi fenomena di kalangan penggemar kek,” katanya selesa mengangkat tema persahabatan, kekeluargaan dan cinta.
Bereksperimen dengan karakter
Bagi mana-mana novelis, karakter adalah kunci kepada kejayaan novel mereka selain plotnya yang tersendiri.
Menurut novelis ini, dia pasti bereksperimen dengan karakter terutama bagi watak utama untuk memastikan karakter yang dicipta sesuai dengan jalan cerita.
“Saya akan cuba pastikan watak hero atau heroin mempunyai kepelbagaian dan tidak stereotaip. Saya percaya adakala berlaku sesuatu konflik itu adalah disebabkan karakter, sikap dan pemikiran kita sendiri.
“Sebab itu saya tidak pernah merasa novel saya lebih unik berbanding novel-novel lain. Lagipun tema yang saya bawa bukannya sesuatu yang abnormal atau tabo subjek,” katanya memastikan setia novel dihasilkan dekat dengan pembaca.
Jelas Hezzy Azra, novel cinta dahulu dan kini masih klise daripada aspek penceritaan.
“Tema kahwin paksa atau cinta antara dua darjat masih menjadi pilihan ramai penulis. Apa yang berbeza hanya dari segi penggarapan.
“Bagaimanapun, novel-novel dahulu penghayatannya lebih tinggi kerana mereka menggunakan bahasa kiasan dan penuh dengan metafora,” katanya
Semerah Red Velvet dipilih bagi kategori buku pilihan - kategori Novel Fiksyen Alaf21 Sempena Anugerah Grup Buku Karangkraf 2013 baru-baru ini.
Kerjaya tetap vs penulis
Meskipun masih terikat dengan kariernya sebagai eksekutif akaun di sebuah syarikat pembinaan milik bumiputera, Hezzy Azra tidak pernah merasakan ia beban kepada kerjaya penulisannya.
“Saya masih beri keutamaan kepada kerjaya tetap tetapi penulisan tetap di hati. Cuma saya perlu bijak membahagi masa antara keduanya.
“Bagi saya walaupun terpaksa mengambil masa menyiapkan sebuah novel itu, saya tetap berpuas hati apabila peminat menyukainya,” katanya cabaran utama terpaksa dihadapi selain masa adalah idea.
Selain itu, katanya, dia berbangga kerana dunia penulisan berkembang dengan pesat berbanding ketika di awal penulisannya.
“Jika dahulu pembaca tidak begitu mengenali novelis-novelis tetapi kini senario telah berubah yang mana penulis dan pembaca menjadi sangat akrab.
“Sehinggakan kelab peminat yang ditubuhkan mampu menjadi tulang belakang kepada kejayaan seorang novelis itu,” katanya kemunculan ramai penulis dengan latar belakang berbeza memberi kesan terhadap genre dan tema cerita yang ditulis.
Bagaimanapun, sebagai novelis perasaan bimbang tetap wujud jika lambakan novel berlaku di pasaran.
“Apabila terlalu banyak novel dihasilkan, agak sukar untuk menilai yang mana bagus dan yang mana tidak dan ini memberi kesan kepada novelis sedia ada,” katanya baru sahaja melancarkan novel keenamnya, Sah, Aku Cinta Kamu! Februari lalu.